Kemudahan i-Sinar penting kepada golongan memerlukan: MEF
KUALA LUMPUR - Keputusan untuk membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di bawah kemudahan i-Sinar akan memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan dalam tempoh yang amat mencabar ini, menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).
Presidennya, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, langkah itu wajar dan perlu, terutamanya bagi mereka yang telah kehilangan pekerjaan atau dipotong gaji atau pendapatan mereka dikurangkan, justeru, memerlukan campur tangan segera untuk memastikan kelangsungan hidup mereka.
“Difahamkan bahawa KWSP telah mengambil pertimbangan yang teliti mengenai implikasi dengan membenarkan pencarum yang layak untuk mengakses Akaun 1.
“Langkah sedemikian tidak akan dibenarkan dalam keadaan normal, tetapi berdasarkan situasi semasa, kemudahan i-Sinar ternyata akan mengurangkan impak yang dihadapi oleh mereka yang paling terjejas oleh situasi itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Hussain berkata, MEF menyokong usaha yang dilakukan oleh KWSP untuk pelaburan dan penjualan asetnya, serta yakin bahawa KWSP akan mengambil semua langkah yang diperlukan untuk melindungi pencarumnya.
“KWSP mungkin perlu menjual aset dalam keadaan luar biasa ini untuk memastikan terdapat penampan tunai bagi memenuhi keperluan semua pencarum, terutamanya untuk persediaan bagi kemudahan i-Sinar untuk membantu pencarum yang terjejas oleh pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya.
Pada Isnin, KWSP mengumumkan perincian dan kelayakan akses ke Akaun 1 bagi kemudahan i-Sinar, melibatkan dua juta ahli yang layak.
Ahli yang layak boleh mengakses 10 peratus daripada amaun simpanan mereka dalam Akaun 1, tertakluk kepada baki minimum RM100. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!