AI singkir kandungan berbahaya FB

A
A
A

Penggunaan Facebook (FB) sepanjang pandemik koronavirus (Covid-19) mencecah hampir tiga bilion pengguna.

Datareportal.com pada Oktober lalu menganggarkan seramai 4.14 bilion iaitu separuh jumlah penduduk dunia mengguna media sosial sebagai alat berkomunikasi.

Ia melaporkan pertambahan lebih 450 juta pengguna baharu media sosial atau melebihi 12 peratus dan hampir 14 pengguna baharu setiap saat.

Menyedari fakta itu, FB bertindak pantas menggunakan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) dalam sistem penganalisisan data raya untuk mengenal pasti isi kandungan berkaitan keganasan, eksploitasi kanak-kanak, data tular bertujuan mengaibkan, kecederaan diri, tekanan jiwa atau kemurungan mengakibatkan prestasi syarikat tertentu terjejas.

Analisis data adalah proses mengumpul, mengatur dan menganalisis sekumpulan data besar yang disebut data raya (big data). Penganalisis yang bekerja dalam skop teknologi data raya perlu pengetahuan luas dalam penganalisaan data.

Justeru, FB menggunakan AI bagi mengukuh sistem pengenalpastian faktor penting yang diperoleh daripada corak data mengguna kaedah ‘pembelajaran mesin’ atau machine learning (ML). Kebiasaannya ada isi kandungan dalam FB yang boleh membahayakan dunia seperti isu keganasan.

Isi kandungan yang melampaui batas sekiranya dibiarkan bebas dalam FB boleh menyebabkan ketegangan dalam komuniti tertentu. FB bertindak memperkenalkan kaedah mencegah bagi memastikan isi kandungan FB bebas sebarang permasalahan kritikal.

Subset ML penting dalam AI adalah ‘pembelajaran mendalam’ atau deep learning (DL) berfungsi sebagai rangkaian saraf tiruan atau algoritma di-ilhamkan daripada sistem otak manusia yang cuba mengenal pasti sejumlah besar data. DL boleh menyelesaikan masalah kompleks walaupun mengguna pelbagai set data, tidak berstruktur dan saling berkaitan atau sebaliknya.

DL adalah fungsi AI yang sangat penting untuk meniru cara otak manusia memproses data dan membuat corak atau mengenal pasti faktor penting ketika menghasilkan keputusan diingini.

Proses itu dikenali Deep Neural Learning (DNL) atau Deep Neural Network (DNN). Otak manusia dibahagikan kepada tiga bahagian utama iaitu serebrum, serebelum dan tangkai otak.

Artikel Berkaitan:

Ubun-ubun Pembentukan teknologi AI disebut dalam al-Quran dengan perkataan ubun-ubun bermaksud otak manusia daripada Surah ar-Rahman ayat 41 bermaksud: “Orang-orang yang berdosa dikenal dengan tanda-tandanya, lalu dipegang ubun-ubun dan kaki mereka.” Surah al-Alaq ayat 15-16 pula bermaksud: “Ketahuilah, sungguh jika dia tidak berhenti (berbuat demikian), nescaya Kami tarik ubun-ubunnya, (iaitu) ubun-ubun orang yang mendustakan lagi durhaka.”

Menyedari kepentingan pengawalan isi kandungan, FB melakukan proses embedded terhadap sistem ML yang berfungsi membantu mempercepat dan mengutamakan penyederhanaan dalam isi kandungan data.

Sebelum ini, pengguna berurusan dengan kebanyakan catatan yang ditanda secara kronologi tetapi dengan adanya AI, FB mampu mengasingkan data tidak penting atau keutamaan rendah ke dalam spam dan mengutamakan kemungkinan maklumat tidak menyenangkan berdasarkan tahap kekuatan ancaman yang mampu memberi kerosakan kepada masyarakat.

Selain itu, pesanan, foto dan video yang berpotensi merosakkan dunia nyata seperti keganasan, eksploitasi kanak-kanak serta kecederaan diri dipindahkan kepada kategori mengikut keutamaan tertentu sebelum dibenarkan dilihat pengguna FB.

FB dalam laporan beberapa hari lalu menyatakan kaedah ML dan DL berjaya meningkatkan integriti laman web tersebut. Pada suku ketiga 2020, lebih empat juta data berkaitan penjualan ubat terlarang dikeluar dan dinyahkan daripada isi kandungan FB. Lebih 98 peratus daripadanya diasingkan secara proaktif mengguna sistem AI.

Kejayaan FB menerusi kaedah ML dan DL dengan penguasaan AL membuktikan generasi muda di Malaysia perlu menceburi bidang kepakaran itu. AI sangat diperlukan bagi meningkatkan kemampuan perubahan industri kepada Revolusi Industri 4.0, seterusnya mampu memartabatkan Malaysia ke taraf negara maju.

* Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!