AS tinggalkan Afghanistan tanpa kalahkan Taliban
Pengumuman terbaru bahawa ribuan askar Amerika Syarikat (AS) akan ditarik keluar dari Afghanistan menyebabkan Iran, China, Rusia, Pakistan dan India dijangka melebarkan pengaruh masing-masing ke negara itu.
Lima negara tersebut mempunyai kepentingan tertentu dan saling bersaing untuk mengembangkan pengaruh di Afghanistan yang mana AS ialah kuasa asing paling dominan di negara tersebut sebelum ini.
Washington menceroboh Afghanistan hampir 20 tahun lalu bagi memerangi pengganas dan mahu menangkap ketua rangkaian Al-Qaeda, Osama bin Laden berikutan serangan yang didakwa dilakukan kumpulan tersebut di AS pada 11 September 2001.
Osama akhirnya mati dibunuh oleh askar-askar Pasukan Tentera Laut, Udara dan Darat yang dikenali sebagai Tentera Laut SEAL AS melalui satu operasi khas ketika pentadbiran Presiden Barack Obama pada 2 Mei 2011 di Abbottabad, Pakistan.
Justeru, misi AS untuk menangkap Osama dalam misi Washington menentang jenayah keganasan akhirnya tercapai.
Bagaimanapun, tindakan penangkapan Ketua Al-Qaeda itu tidak berjaya menjadikan Afghanistan aman sebaliknya ada sahaja pertempuran yang berlaku melibatkan sama ada kumpulan Taliban, tentera kerajaan dengan kemudahan-kemudahan tentera AS menjadi sasaran serangan.
Serangan ganas masih berterusan walaupun pemerintahan demokrasi masih dilaksanakan dengan Hamid Karzai menjadi Presiden Afghanistan pertama dilantik menerusi sistem itu pada tahun 2004 manakala pemerintahan kumpulan Taliban pula berjaya digulingkan AS tetapi masih berpengaruh di negara tersebut.
Kumpulan Taliban yang muncul ketika pengunduran tentera Kesatuan Soviet pada tahun 1990an kemudian melebarkan pengaruhnya dengan menawan beberapa wilayah di Afghanistan dengan menngunakan kaedah pertempuran termasuk Kabul sekali gus menyingkirkan Presiden Burhanuddin
Rabbani ketika itu yang dianggap sebagai pengasas kepada perjuangan mujahidin.
Pada tahun 1998, Taliban dikatakan mengawal hampir 90 peratus Afghanistan.
Namun, kerajaan kerajaan AS dan Taliban kemudian menandatangani satu perjanjian keamanan pada 29 Februari 2020 yang menetapkan tarikh pengunduran askar-askar AS dari negara tersebut.
Berdasarkan perjanjian berkenaan, AS akan mengundurkan semua anggota tenteranya dalam tempoh 14 bulan.
Sebagai pertukaran, kumpulan Taliban yang sebahagian anggotanya disertai oleh para pelajar madrasah sebelum ini dan melaksanakan pemerintahan undang-undang Islam yang ketat dan pernah menawan Kabul serta menguasai sebahagian Afghanistan pada tahun 1990an pula berjanji untuk menghalang kumpulan-kumpulan pengganas beroperasi di wilayah kekuasaan mereka.
Sebelum ini, Taliban melebarkan pengaruh mereka pada pertengahan tahun 1990an selepas askar-askar Kesatuan Soviet berundur dari negara itu.
Namun, pentadbiran Presiden AS, Donald Trump pada Selasa lalu mengumumkan beliau akan mengundurkan 2,000 anggota tentera dari Afghanistan dan 500 lagi askar pada pertengahan bulan Januari tahun depan sebelum bekas Naib Presiden AS, Joe Biden mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden AS pada 20 Januari 2021.
Trump juga berjanji untuk menamatkan perang di negara tersebut yang melibatkan tempoh yang panjang selepas menceroboh negara berkenaan.
Ketika ini, terdapat kira-kira 4,500 askar AS di negara tersebut.
"China, Rusia, Iran dan kemungkinan Pakistan berkongsi satu kepentingan ketika AS meninggalkan wilayah tersebut," kata Pengarah Program Asia Tengah dan Afghanistan, Scott Worden di Institut Keamanan AS.
"Tidak ada sesiapa yang mahu melihat perang saudara meletus lagi dan mereka (negara-negara itu) tidak mahu pelarian atau pengganas datang dari Afghanistan," ujarnya.
Iran kemungkinan tidak mahu Taliban menguasai Afghanistan.
Namun, pengunduran askar-askar AS dengan segera dari negara tersebut memungkinkan prospek Taliban menguasai Afghanistan kelihatan lebih cerah.
China pula melihat pelaburannya di negara tersebut sebagai sebahagian daripada rancangan infranstruktur gergasi yang dikenali sebagai One Belt and One Road.
Bagaimanapun, Rusia yang pernah dimalukan oleh pejuang-pejuang mujahidin Islam yang disokong AS dan menyebabkan Moscow tidak dapat menawan Afghanistan tidak mahu melihat Taliban beroleh kemenangan di negara tersebut.
India pula berharap kerajaan yang stabil di Afghanistan dan mahu melihat kekalahan Taliban di negara tersebut.
Ini adalah kerana Taliban telah dijadikan tempat berlindung untuk para ekstremis Islam yang menentang pemerintahan New Delhi.
Pakistan pula menyokong rejim Taliban bersama dengan negara-negara Arab yang lain.
Pakar-pakar keselamatan menyatakan pengunduran tentera AS akan membolehkan Pakistan untuk membantu proksinya yang berada di Afghanistan.
Sebelum ini, Ketua Negeri Islam Wilayah Khorasan, Aslam Farooqui pernah mendedahkan bahawa kumpulannnya mempunyai hubungan dengan Pakistan.
Seorang felo kanan di Institut Brookings, Vanda Felbab-Brown berkata kepada AFP bahawa musuh-musuh AS akan mendapat rangsangan moral kerana AS meninggalkan Afghanistan tanpa dapat mengalahkan Taliban di Afghanistan. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!