YB perlu buat pemeriksaan kesihatan setahun sekali
Sudah tiba masanya wakil rakyat di negara ini diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala susulan kematian Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman, 63, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bugaya, Manis Muka Mohd Darah, 65, pada Isnin dan Selasa lalu, selain ada wakil rakyat lain yang sedang sakit.
Pakar Kesihatan Awam, Dr Hanafiah Bashirun berkata, sepatutnya wakil rakyat perlu menjalani pemeriksaan kesihatan setahun sekali untuk memastikan fizikal mereka benar-benar cergas.
“Contohnya, mereka harus jalani ujian darah dan psiko analisis daripada pakar psikiatri untuk menilai tahap kesihatan dan tahap stres seseorang.
“Setidak-tidaknya pemeriksaan kesihatan membantu kerajaan mengurangkan kos mengadakan pilihan raya berulang-ulang selain mengelak situasi fizikal wakil rakyat tidak cergas untuk melakukan tugas mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dr Hanafiah berkata, banyak punca yang menyebabkan senario itu berlaku termasuk faktor stres, genetik dan gaya hidup.
Menurutnya, dari segi stres ia bukan sahaja berkaitan tugas yang dipikul, malah melibatkan keluarga dan sebagainya.
“Apabila sibuk bekerja, masa untuk melakukan senaman juga makin kurang. Keadaan kerja di pejabat pula lebih bersifat statik menyebabkan pembakaran lemak kurang berlaku.
“Keadaan ini juga mengakibatkan kadar metabolisme lemah dan menjadikan seseorang semakin buncit dan gemuk,” katanya.
Menurutnya, gaya hidup yang lebih kerap makan di luar juga mengakibatkan kebanyakan individu memilih makanan tidak sihat dan gagal mengambil kira nilai kalori harian yang diambil.
Katanya, ia ditambah buruk lagi dengan tabiat merokok atau menghisap vape.
“Kombinasi kesemua faktor itu iaitu genetik, gaya hidup yang kurang bersenam dan pemakanan tidak sihat serta stres menaikkan risiko dan kebarangkalian untuk berlaku serangan jantung dan strok,” katanya.
Justeru, beliau menasihatkan agar pemimpin mengutamakan kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
“Fokus utama perlu diberikan kepada kesihatan fizikal dengan melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit sehari dan lima kali seminggu.
“Penjagaan pemakanan juga perlu dititikberatkan. Kadar pengambilan kalori mesti dijaga di samping menguruskan stres dengan baik kerana wakil rakyat memikul tanggungjawab besar kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, wakil rakyat perlu diwajibkan melakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun bagi memastikan mereka yang dipilih mempunyai tahap kesihatan yang baik.
Beliau berkata, ia supaya mereka mampu melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin walaupun turut berdepan pelbagai tekanan daripada masyarakat, parti dan desakan luaran yang lain.
“Kita melihat statistik wakil rakyat yang meninggal akibat serangan jantung ini semakin hari semakin meningkat. Ini sebenarnya merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan.
“Sudah tiba masanya calon wakil rakyat atau wakil rakyat diwajibkan menjalani ujian kesihatan setiap tahun dan rekod kesihatan mereka disimpan,” katanya.
Jelasnya, sekiranya wakil rakyat itu mempunyai jawatan dalam kerajaan, rekod itu boleh disimpan kementerian terlibat.
“Jika tiada jawatan dalam kerajaan, parti perlu bertanggungjawab menyimpan profil kesihatan wakil rakyat mereka agar pemantauan terhadap tahap kesihatan mereka dapat dilakukan,” katanya.
Menurutnya, dalam menuju ke alaf baharu, wakil-wakil rakyat juga perlu mempunyai tahap kesihatan yang baik kerana tekanan terhadap seseorang wakil rakyat semakin tinggi.
“Senario semasa yang memperlihatkan ramai dalam kalangan wakil rakyat sama ada ahli Parlimen atau ADUN meninggal dunia akibat serangan jantung adalah serius,” katanya.
Jelasnya, keadaan itu menunjukkan tanggungjawab seorang wakil rakyat adalah sangat besar dan memerlukan tubuh badan serta tahap kesihatan yang sangat baik.
“Mereka bukan sahaja perlu bertanggungjawab terhadap parti, bahkan jika mereka dilantik memegang jawatan pentadbiran di peringkat persekutuan dan negeri, tugas mereka semakin berat,” katanya.
Pada tahun 2011, Kementerian Kesihatan mencadangkan untuk mewajibkan wakil rakyat menjalani ujian kesihatan setiap tahun bagi mengenal pasti tahap kesihatan mereka agar dapat menjalankan tugas dengan baik.
Menteri Kesihatan pada ketika itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai dilaporkan membawa cadangan itu ke mesyuarat mingguan Jemaah Menteri berhubung perkara itu berikutan banyak pilihan raya kecil diadakan susulan kematian wakil rakyat disebabkan masalah kesihatan.
Tahun lalu, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong turut membangkitkan perkara yang sama selepas Timbalan Menteri Multimedia dan Komunikasi, Datuk Eddin Syazlee Shith rebah di Dewan Rakyat.
Kejadian yang sama turut berlaku pada 21 Oktober 2019 apabila Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman mengejutkan ahli Parlimen selepas rebah semasa membahaskan Belanjawan 2020.
Terdapat 821 wakil rakyat di Malaysia yang terdiri daripada 222 ahli Parlimen dan 599 ADUN.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei 2018, seramai 10 wakil rakyat meninggal dunia disebabkan komplikasi kesihatan manakala seorang terkorban dalam nahas jalan raya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!