Panggil saya 'The Experienced One'
PENGENDALI Tottenham Hotspur, Jose Mourinho sememangnya dikenali dengan julukan sebagai The Special One, namun kali ini dia mahu dipanggil dengan gelaran The Experienced One.
Menurutnya, dia tidak lagi sesuai dengan gelaran The Special One, malah lebih sesuai dipanggil The Experienced One berdasarkan rekod gahnya bersama beberapa pasukan gergasi Eropah.
"Saya rasa The Experienced One adalah panggilan yang sesuai untuk saya ketika ini kerana saya sangat berpengalaman.
"Pada hakikatnya, semua yang terjadi kepada saya dalam bola sepak adalah deja vu, sesuatu yang pernah terjadi kepada saya sebelum ini.
"Ada pekerjaan yang memerlukan anda bertenaga seperti pemain bola sepak. Seseorang yang berusia 40 tahun tidak mempunyai potensi sama seperti pemain berusia 20 atau 30 tahun, kecualilah anda Zlatan Ibrahimovic.
"Jika menjadi jurulatih seperti saya, anda hanya perlukan otak, pengalaman dan pengetahuan yang akan membuatkan anda menjadi lebih baik," katanya.
Sebelum ini, Mourinho pernah menyifatkan dirinya sebagai The Special One ketika membimbing Chelsea pada 2004 dengan kejayaannya meraih beberapa kejuaraan bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.
Setelah tiga tahun bersama Chelsea, Mourinho kemudian berpindah ke Itali dan melatih Inter Milan pada 2008 dan meraih kejuaraan treble pada musim 2009/2010.
Selepas itu, Mourinho menerima tawaran untuk melatih Real Madrid dan berada di Santiago Bernabeu selama tiga musim sebelum kembali ke Chelsea.
Kariernya terus meningkat naik apabila dilantik sebagai pengendali Manchester United pada musim panas 2016 dan berjaya merangkul kejuaraan Liga Europa sebelum dipecat pada Disember 2018.
Kini, Mourinho menjadi pengendali Spurs dan dilihat telah berjaya membawa pasukan tersebut ke tahap yang lebih baik daripada sebelum ini.
"Itulah gunanya pengalaman saya membantu pasukan untuk menjadi lebih baik," kata Mourinho.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!