Pemasang jubin cuai jaga anjing hingga gigit bayi didenda
MELAKA TENGAH - Seorang pemilik anjing didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di Ayer Keroh hari ini kerana kecuaian menjaga haiwan peliharaannya sehingga menggigit seorang bayi perempuan sehingga putus tangan kanan, September lalu.
Majistret, Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu selepas Gan Tiong Guey, 41, mengaku bersalah pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, Tiong Guey dengan cuai meninggalkan haiwan peliharaan hingga menyebabkan kecederaan putus tangan kanan seorang bayi perempuan berusia tujuh hari yang juga anak saudaranya di Taman Widuri, Bachang di sini kira-kira jam 9 pagi pada 8 September lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Peguam, Amritpal Singh ketika rayuan memohon hukuman ringan diberikan terhadap anak guamnya yang hanya bekerja sebagai pemasang jubin dan perlu menanggung lima anak berusia sembilan hingga 20 tahun, selain ibu bayi berkenaan juga enggan memanjangkan kes tersebut.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Anis Najwa Nazari meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kecederaan cacat kekal dialami bayi dan sebagai pengajaran kepada orang ramai.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM1,000 atau dua bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Sementara itu dalam prosiding berasingan, isteri tertuduh, Heng Chiew Lian, 39, turut didakwa atas pertuduhan sebagai seorang mempunyai pemeliharaan ke atas bayi sama mengabaikan atau mendedahkan mangsa dengan cara yang mungkin menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal.
Dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, Chiew Lian mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM5,000 dan mahkamah menetapkan sebutan kes pada 18 Disember ini.
Sinar Harian pada 11 September lalu menyiarkan, seorang bayi perempuan berusia tujuh hari putus sebelah tangan selepas dicederakan seekor anjing peliharaan.
Dalam kejadian lebih kurang jam 10 pagi, mangsa yang dipercayai mengalami demam kuning diletakkan di ruang tamu berhampiran pintu jeriji oleh ibu saudaranya sebelum digigit haiwan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Bayi tujuh hari putus tangan digigit anjing
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!