Mexico akan benarkan penggunaan ganja secara sah

Dewan Senat Mexico meluluskan rang undang-undang yang membenarkan penggunaan ganja di negara tersebut. - Foto AFP
Dewan Senat Mexico meluluskan rang undang-undang yang membenarkan penggunaan ganja di negara tersebut. - Foto AFP
A
A
A

BANDAR RAYA MEXICO - Mexico semakin hampir untuk mengambil langkah untuk menjadikan penggunaan ganja dalam bidang perubatan dan bersantai sah di sisi undang-undang negara itu.

Anggota-anggota Dewan Senat semalam bertindak meluluskan satu rang undang-undang membenarkan penggunaan ganja dengan matlamatnya bagi mengurangkan keganasan yang mempunyai kaitan dengan penyalahgunaan dadah.

Namun, undang-undang itu masih memerlukan kelulusan daripada dewan yang lebih rendah iaitu Dewan Ahli-Ahli Perundangan yang mempunyai masa sehingga 15 Disember depan untuk mengkaji dan berdebat mengenainya.

"Objektifnya (membenarkan penggunaan ganja) adalah untuk mempromosikan keamanan dan keselamatan dalam masyarakat, mengurangkan pasaran haram untuk dadah ganja, mengurangkan jenayah terancang, rasuah dan keganasan," kata Dewan Senat dalam satu kenyataan.

Rang undang-undang itu kemudian diluluskan dengan 82 undi, 18 menentang dan tujuh berkecuali.

Satu keputusan Mahkamah Agung Mexico pada tahun 2015 telah membuka pintu kepada penggunaan ganja secara sah di negara tersebut.

Ketika itu, mahkamah tersebut membenarkan empat orang daripada sebuah kumpulan untuk menanam, membawa dan menghisap ganja untuk tujuan bersantai dan mengisytiharkan Perkara Kelima Akta Kesihatan yang mengharamkan penggunaan dan menanam dadah tersebut sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Bagaimanapun, adalah menjadi kesalahan jika didapati mana-mana individu membawa ganja lebih daripada lima gram di bawah undang-undang negara itu.

Artikel Berkaitan:

Mana-mana individu yang didapati membawa antara 28 hingga 200 gram ganja akan didenda dan yang membawa lebih 200 gram ganja kemungkinan akan didakwa.

Namun, setiap individu juga dibenarkan untuk menanam enam pokok ganja untuk setiap rumah untuk tujuan penggunaan sendiri.

Aktivis-aktivis yang mendesak penggunaan ganja dibenarkan di Mexico telah mengusahakan sebuah taman pokok ganja di luar bangunan Dewan Senat sehingga ia menjadi tempat tumpuan para penghisap dadah itu.

Mexico diselubungi dengan masalah berkaitan dengan dadah.

Sejak kerajaan memerangi kartel dadah di negara tersebut dengan menggunakan tentera pada tahun 2006, kira-kira 296,000 orang telah terbunuh di Mexico. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!