TFC belum cukup panas

Pemain pasukan Terengganu FC (TFC) Abdul Malik Mat Ariff meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol penyamaan ketika menentang pasukan PKNS FC pada saingan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam. - Foto Bernama
Keputusan penuh TFC 1-1 PKNS FC.
Pemain pasukan Terengganu FC (TFC) Abdul Malik Mat Ariff meraikan kejayaan selepas menjaringkan gol penyamaan ketika menentang pasukan PKNS FC pada saingan Liga Super Malaysia 2019 di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam. - Foto Bernama Keputusan penuh TFC 1-1 PKNS FC.
A
A
A

KETUA Jurulatih Terengganu Football Club (TFC), Irfan Bakti Abu Salim mengakui pasukannya masih belum cukup 'panas' sehingga gagal mencatat kemenangan ke atas skuad PKNS FC pada perlawanan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Jumaat malam.

Namun begitu, pada masa sama beliau memuji semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh pasukannya yang berusaha mendapatkan gol penyamaan yang akhirnya diperoleh dua minit sebelum wisel penamat dibunyikan.

Menurut Irfan, walaupun TFC tampak mendominasi tempo permainan, banyak peluang terhidang gagal diterjemahkan menyebabkan Skuad Penyu terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.

"Pada babak pertama kami menguasai perlawanan dan mempunyai banyak peluang terhidang tapi pemain tidak dapat menjaringkan gol, begitu juga peluang pada babak kedua yang berjaya diselamatkan penjaga gol lawan.

"TFC ada tujuh peluang terbaik berbanding lawan yang hanya dapat dua saja, tapi mereka berjaya menghasilkan jaringan," katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Bagaimanapun, beliau enggan menyalahkan mana- mana pemain dan akan menumpukan pada perlawanan seterusnya menentang Pahang pada 8 Feb ini.

"Saya tak salahkan siapa- siapa cuma penjaga gol harus dapat menyelamatkan jaringan lawan.

"Bagaimanapun penjaga gol kami, Azrei sudah mempamerkan permainan cemerlang pada malam ini dan saya memang sengaja tak turunkan Safawi kerana mahu anak tempatan beraksi pada perlawanan pertama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada perlawanan malam tadi, pasukan tuan rumah nyaris-nyaris gagal mengutip sebarang mata selepas pasukan pelawat terlebih dahulu menggegar gawang tuan rumah melalui tandukan Nicholas Ryan Swirad sebelum penyerang lincah TFC, Malik Mat Ariff menyelamatkan keadaan dengan gol penyamaan pada dua minit terakhir permainan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!