Tindakan pantas jiran selamatkan tiga beranak

Keadaan rumah Wan Johari di Kampung Baru Chenor, Maran yang hangus dalam kebakaran pada Rabu lalu.
Keadaan rumah Wan Johari di Kampung Baru Chenor, Maran yang hangus dalam kebakaran pada Rabu lalu.
A
A
A

MARAN - Tindakan pantas jiran yang kebetulan lalu di hadapan rumah menyelamatkan tiga beranak dalam kejadian kebakaran di sebuah rumah di Kampung Baru Chenor, Rabu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, rumah terbabit musnah hingga menyebabkan keluarga tersebut tinggal sehelai sepinggang.

Pemilik rumah, Wan Johari Wan Yusof, 67, berkata, semasa kejadian anak perempuan dan dua orang cucunya berada di rumah manakala dia ke klinik berhampiran membawa bapanya mendapatkan rawatan.

"Nasib baik seorang jiran lalu di hadapan rumah dan bergegas masuk ke dalam untuk memberitahu anak saya serta membantu mengalihkan kereta," katanya ketika ditemui hari ini.

Ujarnya, beliau bersyukur kerana semua ahli keluarganya selamat walaupun semua harta benda gagal diselamatkan.

"Setakat ini jumlah kerugian yang dinyatakan pihak bomba dianggarkan kira-kira RM450,000," katanya lagi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Mujibur Rahman Ishak yang melawat mangsa semalam turut menghulurkan bantuan wang tunai bagi meringankan beban mangsa.

Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada keluarga berkenaan seperti barangan keperluan makanan, selimut dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!