Asia Brotherhood Centre bantu promosi produk pelancongan negeri
KUANTAN - Tourism Pahang menjalinkan kerjasama strategik bersama Asia Brotherhood Centre bagi mempromosi produk pelancongan di negeri ini.
Melalui kerjasama yang dimenterai kedua-dua pihak itu, produk-produk pelancongan negeri akan disenaraikan dalam pitstop Malaysia Local Route (MLR) yang menjadi lokasi tumpuan ahli kelab permotoran di negara ini.
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Komoditi Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, sebagai sebuah organisasi swasta yang aktif dalam aktiviti kelab permotoran, Asia Brotherhood Centre mempunyai lebih 800,000 ahli dari beberapa negara Asia termasuk di Malaysia.
Menurutnya, melalui kerjasama itu, Asia Brotherhood Centre bersetuju untuk membantu mempromosikan produk pelancongan yang ada di setiap daerah.
"Melalui kewujudan pitstop di lokasi pelancongan menarik di negeri ini akan membantu mempromosi lokasi tersebut terutama kepada ahli-ahli kelab permotoran sebagai lokasi wajib singgah.
"Pada masa sama, mereka juga dapat mempromosi pelancongan negeri kepada rakan-rakan di luar negara seperti Thailand dan Indonesia, dalam siri jelajah mereka selepas sempadan negara dibuka kelak" katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua pihak di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Tourism Pahang diwakili pengurus besarnya, Datuk Ishak Mokhtar manakala Asia Brotherhood Centre diwakili pengerusinya, Datuk Seri Azmi Razil Razak.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Sharkar berkata, sektor pelancongan Pahang mencatatkan pertumbuhan positif dengan kehadiran 2,637,913 pelancong untuk tempoh Julai hingga September tahun ini.
Menurutnya, untuk keseluruhan bagi tempoh Januari hingga September, bilangan pelancong yang datang ke Pahang seramai 5,353,222 orang.
"Berdasarkan kaji selidik pelancongan domestik di Malaysia (bahagian dua) yang dijalankan Tourism Malaysia sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilaksanakan, sebanyak 30.2 peratus responden memilih Pahang sebagai destinasi percutian mereka dan berada pada senarai teratas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!