'UMNO tidak terima layanan baik hanya cerita rekaan'

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan bahawa UMNO tidak diiktiraf dan menerima layanan sewajarnya daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya cerita rekaan.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berpendapat, ahli UMNO berasakan masih seperti dahulu sedangkan hakikatnya parti itu adalah sebuah parti yang kalah pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu.

"Kita masih lagi berasakan UMNO sekarang masih UMNO yang dahulu dan mesti dilayan mengikut keinginan. Kita terlupa bahawa UMNO datang daripada sebuah parti yang kalah.

"Kita adalah parti pembangkang dan secara berperingkat membina semula kekuatan. Soal layanan atau sebaliknya itu keputusan kita.

"Jika ada kekuatan tentulah orang terpaksa melayan kita dengan baik tetapi jika berpecah belah atau tidak menunjukkan karektor yang boleh menyebabkan orang menghormati kita. Bagaimana dengan itu?" katanya.

Beliau berkata demikian pada program Annuar Musa dan Soalan Cepumas Bersama Shahril Hamdan semalam.

Annuar turut berkongsi soalan yang diajukan media berhubung layanan yang diterimanya dalam Kabinet dan jawatan disandang seolah-olah tidak setimpal.

"Pagi tadi (semalam) saya ditanya pemberita bahawa satu contoh layanan tidak baik terhadap UMNO ialah Tan Sri dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan tetapi Dr Radzi Md Jidin yang kalah pada PRU dengan Tan Sri dilantik sebagai menteri kanan. Maka itu dianggap sebagai layanan kurang baik kepada UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Pada saya itu (hanya) pendapat kerana saya mempunyai pandangan berlainan. Soal menteri kiri atau kanan, kita ialah ahli Kabinet dan yang penting tugas perlu dilakukan dengan baik supaya nama parti terjaga.

"Adakah kita mahu membuat tawar-menawar jawatan dalam Kabinet? Kita kena faham prinsip kerana Kabinet di bawah Perdana Menteri," katanya.

Mengulas lanjut, Annuar Musa berkata, perundingan sepatutnya dilakukan UMNO sebelum Kabinet dibentuk.

"Kenapa lapan bulan kemudian baru kita nak merungut mengenai portfolio yang baik atau tidak. Pada saya itu cerita rekaan. Kita tahu separuh daripada Kabinet disandang Barisan Nasional (BN).

"Seramai 11 orang daripada Kabinet terdiri daripada BN dan melakukan tanggungjawab bersama kerajaan. Kenapa perlu mereka-reka cerita kita tidak dilayan dengan baik," katanya.

Menyentuh sol Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sebelum ini ada pihak membangkitkan kononnya UMNO dibuli dan tidak dilayan dengan baik, beliau berkata, UMNO perlu melihat kelemahan sendiri.

"Saya ialah pemimpin yang berada di tengah-tengah perjalanan kempen, saya ialah koordinator yang menghubungkan semua parti dan terlibat perundingan menubuhkan kerajaan Sabah selain proses mencadangkan calonnya.

"Saya lihat semua perkara yang berlaku dan ada perkara menjadi kelemahan kita. Sebagai contoh Jawatan Ketua Menteri Sabah, UMNO ditawarkan supaya menamakan calon sebelum PRN.

"Tapi kita memilih untuk menamakan calon Ketua Menteri selepas pilihan raya. Mengapa kita tidak beritahu kepada orang ramai? Begitu juga soal memilih calon-calon, kita gembira menerima 27 kerusi untuk bertanding, 19 calon Bersatu, 15 PBS, 8 calon Star.

"Kemudian kita sendiri menambah daripada 27 kepada 32 dan kemudian jadi 42. Jadi di mana kita tidak berpuas hati? Hanya selepas keputusan keluar kita tak dapat kejayaan seperti kita mahukan," katanya.

Menurutnya, jika kelemahan sendiri disembunyikan dan mengiakan semua perkara yang diperkatakan oleh orang lain, ia membawa maksud pihak tersebut tidak berlaku adil.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!