Perluas portal Pybli kepada semua usahawan
SHAH ALAM - Perbadanan Nasional Berhad (PNS) kini memperluaskan penggunaan platform pemasaran produk dan perkhidmatan dalam taliannya, Pybli dengan tidak lagi terhad kepada usahawan yang berada bawah perbadanan itu sahaja.
Ketua Jabatan Perkhidmatan dan Sokongan Francais PNS, Tengku Mohamed Fadhli Tengku Hamzah berkata, portal Pybli pada awalnya dibangunkan pada pertengahan tahun lalu dan dilancarkan awal tahun ini untuk membantu usahawan di bawah program keusahawanan PNS.
Beliau berkata, portal itu menjadi pelengkap kepada ekosistem keusahawanan yang dijalankan kerana memberi platform kepada usahawan khusus untuk mengetengahkan produk dan perkhidmatan mereka menerusi maya.
"Sekarang bukan usahawan di bawah PNS sahaja boleh menggunakan kemudahan ini tetapi usahawan lain di luar sana juga boleh menyertai Pybli.
"Sesuai dengan peranan PNS yang memberi tumpuan membangunkan industri francais, portal Pybli berbeza dengan portal dalam talian yang lain kerana kita cuba menjadikan portal Pybli ini sebagai francais 'centric'," katanya selaku panelis program SinarLive Khas bertajuk 'Webinar Bizfrancais: Revolusi Perniagaan Digital' yang dibawakan oleh PNS malam tadi.
Program yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian turut menampilkan panelis Ketua Perkongsian dan Inovasi Strategik, Alliance Bank Malaysia, Roy Heong Beng Wai dan Ketua Kandungan Digital PanPages Trinity, Siti Azrah Aishah Tajul Azhar, manakala Yus Amri Mohd Yusof selaku pengacara.
Mengulas lanjut, Tengku Mohamed Fadhli berkata, potensi usahawan yang berada di bawah PNS dicungkil dan diketengahkan agar mereka lebih maju ke depan apabila PNS menyediakan bimbingan ke arah pembangunan francais.
"Dari situ kita cuba mendedahkan mereka mengenai pembangunan francais walaupun pada asalnya mereka adalah usahawan biasa sahaja dan itulah kelainan yang kita berikan.
"Maknanya bimbingan itu tidak terhenti setakat pelaksanaan program keusahawanan sahaja, sebaliknya mereka akan dikenal pasti menerusi bimbingan kita. Jika ada potensi, bimbingan itu akan berterusan dalam bentuk latihan, pembangunan dokumentasi francais dan sebagainya," katanya.
Menurut beliau, sejak Pybli dilancarkan, ia menerima sambutan sangat menggalakkan apabila jumlah penjual di platform berkenaan ketika ini berjumlah lebih 95 orang penjual dalam talian dengan melebihi unit simpanan stok (SKU) iaitu 200 unit.
Katanya, pelbagai jenis produk dan perkhidmatan ditawarkan dalam portal Pybli terutama produk makanan yang mendapat sambutan menggalakkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sekarang.
"Jadi dalam keadaan penularan Covid-19 sekarang, portal ini sangat membantu usahawan yang berada di bawah PNS," katanya.
Beliau menjelaskan, keadaan semasa juga mendorong berlaku revolusi perniagaan digital kerana pembelian dalam talian menjadi pilihan baharu rakyat, sekali gus membolehkan peniaga mencapai golongan sasaran yang lebih meluas.
Kata Tengku Mohamed Fadhli, perkembangan itu menyaksikan produk makanan seperti produk makanan asas, produk sejuk beku dan produk masakan menunjukkan peningkatan permintaan dan penjualan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!