Anugerah Sukan Negara tangguh
KUALA LUMPUR - Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019 akan dibawa ke tahun 2021 bersama-sama dengan penganjuran ASN 2020 berikutan penularan pandemik Covid-19.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, perkembangan itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengurus MSN yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan turut dihadiri hampir kesemua ahli lembaga pengurus secara dalam talian, semalam.
Ahmad Shapawi berkata, kebiasaannya anugerah itu yang mengiktiraf pencapaian atlet yang telah mengharumkan nama negara di persada dunia akan berlangsung pada bulan Mac atau April setiap tahun namun ia terpaksa ditangguh susulan keadaan semasa.
"Keputusan ini juga mengambil kira keadaan semasa sepanjang 2020 di mana hampir keseluruhan tahun ini tidak ada pertandingan besar dianjurkan, jadi akibat daripada keadaan ini lembaga pengurus memutuskan anugerah sukan negara 2019 dan anugerah 2020 akan disatukan pada tahun 2021 nanti.
"Dengan keputusan itu, bermakna atlet yang telah dicalonkan persatuan sukan kebangsaan bagi anugerah 2019 akan kita bawa sehingga ke 2021 sekali dengan penganjuran edisi ASN 2020," katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, ia satu keputusan yang wajar dalam keadaan semasa dan berharap penganjuran anugerah itu pada 2021 dapat dilaksanakan dalam suasana lebih baik berbanding jika diadakan tahun ini.
"Sekiranya kita anjurkan ASN 2019 pada tahun ini dalam keadaan pandemik Covid-19 yang tidak membolehkan kita berkumpul dan berhimpun bersama komuniti sukan secara beramai-ramai, ia tidak memberi satu makna yang agak besar kepada mereka yang telah mencapai kejayaan," kata beliau.
Jaguh tenpin boling negara Muhammad Rafiq Ismail dan atlet gimrama negara Amy Kwan Dict Weng masing-masing dipilih selaku Olahragawan Kebangsaan dan Olahragawati Kebangsaan pada ASN 2018.
Sementara itu, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dan Siti Noor Iasah Mohd Ariffin dipilih sebagai Olahragawan dan Olahragawati Paralimpik Kebangsaan 2018. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!