Kes denggi di Selangor meningkat 222 peratus

Dr Siti Mariah Mahmud
Dr Siti Mariah Mahmud
A
A
A

SHAH ALAM - Kes denggi di Selangor mencatatkan lebih 200 peratus peningkatan bagi tempoh sehingga 26 Januari lalu.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, peningkatan ketara itu dicatatkan daripada 2,199 kes pada tempoh sama tahun lalu kepada 7,085 kes tahun ini.

Beliau berkata, semua daerah di negeri ini menunjukkan peningkatan kes denggi kecuali Sabak Bernam dan Hulu Selangor.

Menurutnya, beliau memandang serius peningkatan kes yang kini mencecah sehingga 222 peratus itu.

Katanya, susulan itu, pihaknya turut melancarkan kempen 'Selangor Gempur Aedes' bermula 21 Januari lalu sehingga 17 Februari ini bagi menghapuskan tempat pembiakan aedes di semua lokaliti ‘hotspot’ denggi yang sukar diakses.

"Kita bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Selangor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Selangor bagi memastikan usaha yang dibuat benar-benar berkesan.

"Kini sudah hampir dua minggu kita laksanakan kempen ini tapi masih terlalu awal untuk saya buat penilaian impak yang diperoleh," katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, Siti Mariah berkata, RM500,000 diperuntukkan pihaknya kepada seluruh PBT untuk menjalankan ‘task force’ pembersihan dan penghapusan tempat pembiakan aedes menerusi kempen tersebut.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, antara aktiviti dilakukan pada kempen itu adalah kawalan sporadik berfokus bersama PBT dengan sasaran melebihi 50 peratus lokaliti wabak melalui aktiviti Penghapusan Tempat Pembiakan (PTP) dan ‘larvaciding’.

Katanya, penguatkuasaan tempat pembiakan juga dipertingkatkan dengan memberi fokus kepada kawasan tumpuan awam antaranya seperti pasar raya, tapak pasar malam atau pagi, pasar basah, pusat sukan dan rumah ibadat.

Sementara itu, analisa oleh Unit Vektor Jabatan Kesihatan Selangor mendapati 122 lokaliti ‘hotspot’ berjaya dikenal pasti membabitkan 66 di Petaling, Klang (22), Hulu Langat (21), Gombak (12) dan Sepang (satu).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!