2,000 tapak perniagaan dibuka untuk anak muda
PUTRAJAYA - Kementerian Wilayah Persekutuan menyasarkan untuk menyediakan 2,000 tapak perniagaan untuk anak muda kota, di bawah Program Usahawan Anak Muda Kota Wilayah Persekutuan dalam tempoh dua tahun, kata Menterinya, Tan Sri Annuar Musa.
Setakat ini katanya, sebanyak 1,122 ruang perniagaan di 169 lokasi sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya telah disediakan di bawah program tersebut, bagi membantu anak-anak belia kota yang terjejas dan kehilangan punca pendapatan akibat pandemik Covid-19.
“Kalau satu tempat perlukan sekurang-kurangnya dua pekerja, oleh itu 4,000 peluang pekerjaan tersedia kepada anak muda kota, secara tidak langsung mereka mendapat manfaat daripada program ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan lesen perniagaan kepada usahawan muda kota Putrajaya, di sini hari ini.
Annuar berkata, sejak diumumkan pada 7 Julai lepas, program tersebut telah menerima sambutan yang memberangsangkan dengan jumlah permohonan yang menggalakkan.
Beliau berkata, antara kriteria asas dalam proses pemilihan program itu adalah alamat kediaman pemohon mestilah di Putrajaya atau Kuala Lumpur, dan keutamaan akan diberikan kepada belia berusia 18 hingga 35 tahun dan mereka yang hilang pekerjaan serta aktiviti perniagaan akibat kesan pandemik Covid-19.
“Pemohon yang mempunyai pengalaman luas bersesuaian dengan premis yang dipohon adalah satu kelebihan,” katanya.
Mengenai program ‘wilayah bebas berniaga’, Annuar berkata, pihaknya menerima maklumat terdapat pihak yang cuba menjadi sindiket orang tengah dengan menguasai sesuatu kawasan untuk mengutip bayaran sewa tapak.
“Tidak perlu ada sistem orang tengah, kerana setiap peniaga yang ingin berniaga hanya perlu berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Perbadanan Putrajaya, supaya mereka membuka gerai mereka di tempat yang dibenarkan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Annuar meminta agar semua ahli Parlimen menyokong Belanjawan 2021 pada sesi pengundian pada 26 November nanti, kerana penting ia diluluskan supaya urusan perjalanan kewangan negara tidak terganggu.
“Tidak salah untuk kita cadangkan dasar dan penambahbaikan seperti menyambung moratorium dan akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh dikeluarkan.
“Saya rasa itu elok dan bagus dan kerajaan perlu ambil perhatian. Jadi bukan bermakna apabila belanjawan dibentangkan, itu sahaja, yang lain sudah tidak boleh dibuat. Itulah gunanya perbahasan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!