Piala Sumbangsih 2019: Durakovic puas hati
DI sebalik kekalahan 0-1 kepada JDT pada aksi Piala Sumbangsih semalam ketua jurulatih Perak Mehmed Durakovic tetap berpuas hati dengan persembahan kesebelasan pemain.
Durakovic berkata, kesebelasan The Bos Gaurus telah beraksi dengan baik bagi menyaingi asakan-asakan kesebelasan skuad Harimau Selatan yang dilihat begitu ‘garang’ memburu gol pada perlawanan berkenaan.
Malah menurut Durakovic, pujian wajar diberikan kepada kesebelasan anak didiknya itu berikutan aksi cemerlang yang dipamerkan.
“Kita berikan peluang kepada pemain-pemain tempatan untuk beraksi malam ini (kelmarin) dan mereka telah beraksi dengan baik.
“Memang kita ‘merasai’ kehilangan penyerang utama, Gilmar (da Silva), namun kita berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh pemain,” katanya sejurus tamat perlawanan.
Perak gagal dalam misi membawa pulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah setelah tewas 0-1 kepada JDT pada aksi Piala Sumbangsih di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin, semalam.
Pemain import JDT, Gonzalo Carbrerra muncul wira skuad Harimau Selatan itu apabila meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-40.
Sementara itu Durakovic menyifatkan JDT ternyata berada dalam kelas tersendiri pada perlawanan berkenaan menerusi gandingan pemain tempatan serta pemain import yang baik.
Kataya, aksi cemerlang JDT turut dibantu dengan sokongan penyokong yang membanjiri stadium .
“JDT berada dalam kelasnya sendiri. Gabungan pemain tempatan serta import yang baik selain mendapat sokongan padu penyokong,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!