Tak sempat ‘happy ending’

Antara wanita warga Thailand yang ditahan kerana menyalagunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja sebagai tukang urut.
Antara wanita warga Thailand yang ditahan kerana menyalagunakan pas lawatan sosial mereka dengan bekerja sebagai tukang urut.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Enam lelaki yang sedang mendapatkan khidmat urutan di pusat refleksologi di Lorong Seri Impian dan Taman Berjaya Indah di sini tergamam apabila dikejutkan dengan kehadiran anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Pulau Pinang malam kelmarin.

Dalam serbuan jam 10 malam itu, kesemua mereka yang berada dalam keadaan separuh bogel hanya mampu menutup badan dengan kain tuala selepas setiap bilik di pusat refleksologi itu diperiksa oleh anggota penguatkuasa.

Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Izham Idris berkata, serbuan dibuat hasil maklumat orang awam mengenai kegiatan warga asing yang bekerja di pusat refleksologi berkenaan.

Difahamkan, rumah urut berkenaan juga menyediakan khidmat urutan batin dengan mengenakan caj tambahan sebanyak RM50 dan disebabkan itu ramai lelaki hidung belang terutamanya warga emas sering berkunjung ke pusat refleksologi terbabit.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan kita berjaya menahan enam wanita warga Thailand yang bekerja di dua pusat refleksologi berkenaan.

"Kesemua mereka yang berusia 30 hingga 40-an itu ditahan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan- Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas lawatan," katanya ketika dihubungi, di sini ,semalam.

Izham berkata, enam pelanggan yang berusia 50 hingga 60an dan dua penjaga premis berkenaan turut ditahan untuk membantu siasatan.

Bagaimanapun mereka dibebaskan selepas semua keterangan diambil.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu dalam serbuan berasingan, pihaknya turut melakukan operasi di dua rumah teres di Taman Sukun yang menjadi lokasi tempat tinggal lelaki dan wanita warga Myanmar.

"Selepas pemeriksaan, kita dapati semua penghuni di dua rumah terbabit mempunyai pas atau permit yang sah untuk tinggal dan bekerja di negara ini.

"Secara keseluruhan, kita melakukan pemeriksaan terhadap 37 individu dalam operasi itu dengan enam daripadanya ditahan kerana menyalahguna pas lawatan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!