Malaysia tutup tirai APEC 2020 dengan jayanya: MITI
KUALA LUMPUR - Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik 2020 (APEC 2020) yang dihoskan Malaysia melabuhkan tirainya semalam dengan penuh cemerlang dan seiring semangatnya untuk mengangkat Visi Putrajaya 2040 dan Deklarasi Kuala Lumpur 2020.
Ia diakhiri dengan Mesyuarat Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC (AELM) yang buat kali pertama dalam sejarahnya diadakan secara maya sepenuhnya susulan pandemik koronavirus (Covid-19).
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) hari ini, AELM yang disertai kesemua 21 pemimpin ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Visi Putrajaya 2040 akan menggantikan Matlamat Bogor yang dilancarkan pada 1994 dan mencapai tempoh matang tahun ini.
Visi itu mengaspirasikan komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik dan berdaya tahan menjelang 2040, bagi kemakmuran rakyat dan generasi masa depan.
Ia menetapkan tiga pemacu ekonomi utama untuk mencapai aspirasi tersebut iaitu perdagangan dan pelaburan; inovasi dan pendigitalan; serta pertumbuhan yang padu, seimbang, terjamin, mampan dan inklusif menurut MITI.
Selain Visi Putrajaya 2040, kalangan pemimpin juga menerima deklarasi konsensus, satu dokumen yang masih sukar dicapai pada dua tahun lepas.
Semasa mengakhiri AELM semalam, Muhyiddin berkata, para pegawai kanan bekerja dari awal sehingga saat-saat akhir untuk mencapai persetujuan berkaitan deklarasi tersebut.
“Ini bagi saya merupakan bukti jelas mengenai apa yang kita boleh capai, apabila kita mengenepikan perbezaan yang wujud antara kita, dengan sebaliknya menumpukan nilai-nilai bersama,” katanya dalam ucapannya.
Menerusi Deklarasi Kuala Lumpur 2020, para pemimpin menekankan perlunya mempermudah akses yang adil untuk vaksin yang selamat, berkesan dan berpatutan.
Mereka turut mengatakan pentingnya persekitaran perdagangan dan pelaburan yang bebas, terbuka, adil, tanpa diskriminasi, telus dan dapat dijangka untuk memacu pemulihan ekonomi.
Menurut MITI, para pemimpin juga menegaskan kembali sokongan terhadap usaha yang sedang dilaksanakan di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), termasuk melalui pembaharuan yang diperlukan yang bertujuan menambah baik fungsinya.
Kalangan pemimpin turut menggesa pewujudan persekitaran yang mendukung pembangunan ekonomi digital serta dasar ekonomi terangkum untuk memudahkan usaha mencapai pertumbuhan dan pemulihan serantau pasca-pandemik.
Mereka juga menyatakan penting untuk memajukan pembangunan modal insan serta memperkukuh kerjasama ekonomi dan teknikal supaya dapat memastikan pekerja yang terjejas memperoleh sokongan yang sewajarnya.
Dalam pada itu,katanya, pemimpin menyatakan harapan untuk teknologi baharu membolehkan rantau ini mengurus sumber dan sisa secara lebih lestari dan holistik.
Mereka turut memberi komitmen untuk menyokong usaha global dalam menangani perubahan iklim, cuaca melampau dan bencana alam.
Menerusi maklum balas Malaysia semasa AELM, Muhyiddin berkata, tindak balas daripada pelbagai aspek telah dilakukan di Asia-Pasifik untuk mengekang pandemik Covid-19 dan mengemudi rantau ini ke arah laluan pemulihan ekonomi yang kukuh dan berdaya tahan.
Beliau berkata, bahawa APEC dalam usahanya untuk mencapai keseimbangan di antara keutamaan kesihatan dengan keperluan ekonomi telah memperkenalkan pakej rangsangan, perintah sekatan dan penampan kejatuhan baru-baru ini gelembung perjalanan.
Menurut MITI, kalangan pemimpin ekonomi APEC juga berkongsi maklum balas dan langkah dasar masing-masing dalam menangani cabaran yang ditimbulkan oleh pandemik itu, selain menggariskan kepentingan jalinan kerjasama untuk membuka semula sektor-sektor ekonomi, mengembalikan semula rakyat kepada pekerjaan dan memulihkan rantau ini kepada keadaan normal. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!