Yayasan Al Ammar sumbang pensanitasi tangan di 300 masjid
SEREMBAN - Yayasan Al Ammar menyumbangkan pembasmi kuman dan pensanitasi tangan berjenama Fuze bernilai RM120,000 kepada 300 masjid di Negeri Sembilan.
Majlis penyerahan itu dilakukan oleh yayasan berkenaan di kediaman rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Aminuddin berkata, ini bukanlah kali pertama yayasan tersebut memberikan sumbangan di negeri ini.
"Pada April lalu, mereka telah menyumbang 2,400 unit Air Mineral Semulajadi Beroksigen jenama Bubbles O2 (500ml) kepada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Ibu Pejabat Polis Daerah seluruh Negeri Sembilan.
"Saya mewakili kerajaan Negeri Sembilan merakamkan terima kasih kepada Yayasan Al Ammar atas keprihatinan yang ditunjukkan terhadap kebajikan masyarakat," katanya.
Sementara itu, Yayasan Al Ammar dalam satu kenyataan memaklumkan, yayasan itu menerusi Fission Qube Sdn bhd menyumbangkan pembasmi kuman bersaiz 20 liter dan pensanitasi tangan bersaiz 5 liter dan 300 mililiter jenama Fuze kepada masjid seluruh negeri ini.
"Fission Qube Sdn Bhd adalah sebuah syarikat berasaskan farmaseutikal dan penjagaan kesihatan yang ditubuhkan pada tahun 2019 yang memberi fokus kepada produk berasaskan air mineral semula jadi beroksigen.
"Visi syarikat adalah untuk menghasilkan produk farmaseutikal berkualiti tinggi untuk semua peringkat umur di mana syarikat yang pada asasnya memberi tumpuan dalam penyelidikan tentang air beroksigen.
"Disinfectant (pembasmi kuman) dan pensanitasi tangan jenama Fuze dihasilkan melalui proses elektrolisis air beroksigen yang mengandungi bahan aktif hypochlorous acid (HOCl) dan sodium hypochlorite (NaOCl). Sodium hypochlorite adalah antara bahan aktif yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," katanya.
Untuk rekod, Yayasan Al Ammar adalah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang diasaskan oleh beberapa golongan ahli profesional, perniagaan dan akademik dengan objektif untuk meningkatkan ekonomi golongan B40 menerusi penajaan pendidikan secara percuma kepada anak-anak yang terpilih.
Selain itu, yayasan ini memiliki dan menawarkan program pengajian antarabangsa, Cambridge O’ Level kepada golongan anak yatim dan asnaf di Kompleks Al Ammar, Rantau, Negeri Sembilan dan menubuhkan Bubbles O2 Sdn Bhd untuk tujuan Research and Development (R&D), pengeluaran dan pemasaran air mineral semula jadi beroksigen, Bubbles O2 di Malaysia dan antarabangsa.
Terbaharu, Yayasan Al Ammar menubuhkan Fission Qube Sdn Bhd untuk tujuan R&D, pengeluaran dan pemasaran produk kesihatan dan farmaseutikal berasaskan air oksigen seperti pensanitasi tangan, pembasmi kuma, Wound Oxygenation & HOCL Wound Healing Solution.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!