Etno Sains sasar tubuh pusat komersial seluruh negeri
KOTA BHARU - Pertubuhan Etno-Sains Perubatan Melayu dan Komplementari (Etno Sains) Malaysia mensasarkan untuk mewujudkan pusat pengkomersialan produk kesihatan mereka sendiri di setiap negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.
Presidennya, Profesor Dr Supyan Hussin berkata, perkara itu tidak mustahil untuk direalisasikan kerana pengamal perubatan Melayu di negara ini mempunyai keistimewaan berbeza dan memiliki formula tertentu dalam perawatan yang selama ini ternyata diakui dapat membantu masyarakat.
Menurutnya, meskipun baharu ditubuhkan secara rasmi Jun lalu namun perawat Melayu yang bergerak bersama pertubuhan sudah mempunyai lebih 500 produk mereka sendiri yang digunakan untuk penjagaan kesihatan, pencegahan penyakit dan perawatan.
“Selain itu, produk sedia ada dan hasil petua nenek moyang ini juga turut mempunyai kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia dan mendapat kelulusan logo halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia sekaligus mampu menjadi pelengkap kepada perubatan moden di negara ini.
“Dalam tempoh beberapa tahun ini pihak kami akan mengkomersialkan kopi campuran herba dan juga minyak urut dengan formula turun temurun serta diakui mempunyai khasiatnya dalam perawatan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Terdahulu beliau menghadiri perasmian Etno Sains Negeri Kelantan yang turut dihadiri, Pengasas Pertubuhan Etno Sains, Datuk Seri Dr Baharudin Abu dan Pengerusi Etno Sains Kelantan, Datuk Mohd Adam Mat Yashim.
Mengulas lanjut, Supyan berkata, selain mengkomersialkan produk-produk perawatan, pertubuhan juga akan memperkasakan perawat-perawat Melayu di seluruh negara agar perkhidmatan mereka sentiasa diyakini oleh masyarakat.
“Mereka yang berjuang bersama dengan persatuan akan mendapat sijil pengiktirafan kerajaan sekaligus dilihat akan memberi lebih kepercayaan kepada masyarakat untuk menggunakan khidmat mereka tanpa ragu-ragu.
“Sebelum ini mungkin ada perawat mempunyai agenda tersirat yang kita tidak tahu, jadi dengan adanya pensijilan dan pengiktirafan terhadap status mereka, ia menyebabkan kumpulan perawat ini mudah diterima umum,” katanya.
Dalam pada itu, Supyan berkata, individu yang bergerak menerusi persatuan juga turut dididik supaya saling berlapang dada selain tidak berlumba-lumba untuk menunjukkan kelebihan masing-masing sebaliknya mewujudkan hubungan saling kebergantungan serta permuafakatan sesama ahli.
Katanya, penerimaan masyarakat terhadap perawatan etno sains kini semakin diterima ramai dan masyarakat sudah mula menjadikan kaedah yang digunakan ini sebagai platform mereka mengubati penyakit.
“Menerusi hebahan kejayaan merawat pesakit yang digunapakai oleh pertubuhan dan juga penerangan peranan perawat Melayu menerusi wacana dan media ia sedikit sebanyak membuka minda masyarakat di zaman moden ini untuk yakin dengan kelebihan dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada kami.
“Kami tidak menafikan bidang tugas doktor di hospital, tetapi ada kalanya tahap perubatan mereka juga sudah tepu dan ada dalam kalangan mereka menggalakkan pesakit menggunakan kaedah perawatan Melayu untuk sesetengah penyakit,” katanya.
Pada program yang diadakan semalam, Baharudin turut memberikan perawatan percuma kepada beberapa pesakit antaranya kanak-kanak berusia 15 tahun yang menghidap kanser ovari sejak umurnya 6 tahun.
Sementara itu, seorang pemuda, Abdul Hadi Hassan yang menghidap penyakit asma sejak kecil dan kerap menggunakan alat penyedut pelega kini tidak lagi bergantung dengan alat berkenaan sejak menerima rawatan perubatan etno sains beberapa bulan lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!