Arak: Lebih banyak negeri dijangka ikut Wilayah Persekutuan
KOTA BHARU – Kerajaan Persekutuan membayangkan lebih banyak negeri yang akan mengikut jejak langkah Wilayah Persekutuan untuk tidak membenarkan lagi penjualan arak di kedai runcit mulai tahun depan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary menyifatkan tindakan yang dilakukan Wilayah Persekutuan itu adalah bertepatan dengan tuntutan agama dan juga tuntutan masyarakat itu sendiri.
“Ia bukan sahaja menepati kehendak tuntutan agama bahkan juga masyarakat, tidak kira orang islam atau bukan islam. Memang ada segelintir suara yang tidak setuju, tetapi ia tetap mendatangkan banyak kebaikan.
“Kalau arak mudah didapati dan dibeli kedai runcit, itu yang mendorong kepada banyak perkara lain yang lebih negatif berlaku contohnya kes pemandu mabuk yang langgar orang sampai mati, sedangkan orang tersebut tidak berdosa.
“Ini merupakan strategik kerajaan yang holistik dan perlu didokong oleh rakyat. Tidak kira agama, bangsa dan fahaman politik. Kita tidak menolak kemungkinan akan bawa ke tempat lain berdasarkan komen yang positif daripada masyarakat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Inspirasiku MyHaus dan FoodBank di bawah Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Parang Puting di sini.
Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021.
DBKL memperkenalkan garis panduan baharu mengenai lesen minuman keras berkuat kuasa Ahad lalu yang mana antaranya ialah menetapkan bahawa kedai runcit dan kedai serbaneka tidak lagi dibenarkan menjual produk minuman keras mulai 1 Oktober tahun depan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan, Marzuk berkata, ia merupakan langkah yang sangat tepat bagi memastikan rantaian penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dapat diputuskan secepat mungkin.
“Jangan panik, apa yang dilakukan kerajaan negeri ini adalah pencegahan terbaik untuk rakyat dan saya menyeru semua masyarakat agar mematuhi SOP baharu itu walaupun Kelantan pernah berada di zon hijau sebelum ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!