Covid-19: Sebak tak dapat tatap jenazah ibu kali terakhir
ALOR SETAR - Pilu hati seorang pesakit koronavirus (Covid-19) kerana tidak dapat menyempurnakan jenazah ibunya apatah lagi keadaan turut meruntun hati apabila ia turut berlaku tanpa diiringi sanak saudara.
Bagaimanapun, dia yang mahu dikenali sebagai Mira, 30, reda dengan ketentuan lillahi.
Mira kehilangan insan tersayang apabila mereka sekeluarga disahkan positif dan bersedia berkongsi kesedihan itu supaya menjadi iktibar kepada orang ramai yang masih mengambil ringan mengenai bahaya wabak berkenaan.
“Alhamdulillah mak selamat dikebumikan petang Ahad (8 November) selepas Asar. Sebak hati anak-anak, abah, sebab tidak dapat melihat mak buat kali terakhir dan memandikan jenazahnya. Tidak dapat sembahyangkan jenazah.
"Paling sedih, mak tidak sempat memakai rantai yang saya belikan pada hari lahirnya. Saya pula ketika itu sedang bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU), selalu teringatkan mak. Tenanglah mak di sana, kami sayang mak, tapi ALLAH SWT lebih sayangkan mak,” katanya.
Menurutnya, sehingga hari ini dia belum berkesempatan menziarahi pusara ibunya kerana masih dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Selepas hari ke-20, Mira yang disahkan daripada Kluster Permatang beroleh kekuatan menceritakan kisahnya supaya menjadi iktibar untuk orang ramai memerangi Covid-19 secara serius.
“Pada mulanya mak dimasukkan ke ICU pada 22 Oktober kerana kaki bengkak teruk dan esoknya dikuarantin sedangkan keputusan ujian swab negatif. Mak kemudian dipindahkan ke wad biasa dan kami dibenarkan melawat. Mak ada mengadu penat sangat dan mukanya bengkak,” katanya.
Menurutnya, pada 26 Oktober merupakan hari lahir ibunya dan rantai emas tidak sempat dipakai kerana keadaan ibunya yang kembali kritikal.
“Mak dimasukkan semula ke ICU keesokannya kerana pernafasan tidak lancar. Ketika itu sayu sangat sebab mak teringin nak makan mi sotong. Kami belikan dan kakak ipar suapkan mak. Kami bergilir-gilir lawat mak sebab pelawat hanya dua orang dibenarkan.
Pada 29 Oktober, proses ‘intubation’ dilakukan terhadap mak dengan keizinan kami. Sempat saya cium mak sebelum itu dan mohon ampun dengan mak. Itulah kali terakhir saya belai dan tatap wajah mak,” katanya.
Keseokannya Mira memberitahu, ibunya koma dan kritikal dan doktor menasihati mereka sekeluarga agar reda sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan.
“Pagi itu, abang saya memaklumkan mak positif Covid-19 untuk ujian swab kedua. Hanya ALLAH SWT saja tahu perasaan waktu itu. Dengan keadaan mak yang kritikal, harapan untuk pulih sangat tipis. Mak kemudian dipindahkan ke ICU Hospital Pulau Pinang, maka tercetuslah Kluster Permatang.
"Sebenarnya, kami pun tidak tahu dari mana jangkitan. Persoalan itu tidak mampu saya jawab kerana kita tidak nampak virus itu. Ketika itu pula, saya dan abang ada simptom batuk dan demam,” katanya.
Menurut Mira, kakak iparnya yang bekerja di hospital merupakan orang pertama menjalani ujian swab manakala diri dan ahli keluarga pada 2 November.
“Kakak ipar disahkan positif dan ambulan datang ambil dia, ramai cakap dia pencetus. Kasihan kakak sebab dia pun tak tahu apa-apa termasuk kami yang yang tidak mengetahui punca wabak itu. Covid-19 ada di mana-mana dalam komuniti kita. Apabila mak positif semua buat cerita bukan-bukan, kami reda ini ujian buat kami sekeluarga,” katanya.
Keesokannya, abang ketiga Mira menunjukkan simptom agak teruk dan keputusan ujian swab mengesahkan dia dijangkiti.
“Pada 2 November, kami sekeluarga ke Klinik Kesihatan Kulim untuk ujian swab. Simptom saya paling teruk, batuk, demam, muntah, sakit dada macam kena tumbuk, nafas tersangkut. Malam itu saya tidak tahan dan pergi Hospital Kulim sebab sukar bernafas. Tidak sampai beberapa jam dipindahkan ke HSB,” katanya.
Mira berkata, sepanjang tiga hari itu, suhu badannya cecah 39 darjah celsius selain perlu menambah bekalan darah serta menggunakan oksigen.
“Malam itu saya dimasukkan ke ICU, doktor mencadangkan dilakukan ‘intubation’ tapi saya merayu dan mengatakan boleh melawan penyakit ini. Abang saya juga dimasukkan ke ICU, situasinya sama seperti saya,” katanya.
Sementara itu, semua ahli keluarganya seorang demi seorang dibawa ke hospital sebab positif termasuk bayi berusia empat bulan
“Pada 8 November, mak meninggalkan kami selepas lapan hari bertarung nyawa. Sedihnya, seorang daripada kami pun tak boleh tengok mak, sebab semua di hospital. Yang negatif hanya suami dan tiga anak saudara tetapi tidak boleh keluar sebab kuarantin.
"Kami hantar wakil untuk pengecaman jenazah mak, kubur pun tak dapat pergi,” katanya sayu.
Mira berkata, setelah berada di wad ICU selama dua minggu, dia kemudian dipindahkan ke wad biasa pada 16 November lalu dan kini dalam proses pemulihan.
Katanya, suaminya turut positif selepas ujian swab kedua pada hari ke-14, namun tiga anak saudaranya bebas Covid-19.
"Hari ini hari ke-20 saya dirawat, doktor maklumkan esok saya boleh balik rumah, syukur sangat akhirnya saya berjaya tewaskan Covid-19 dengan segala kekuatan,” katanya memberitahu semua ahli keluarganya kini sudah pulih dan negatif Covid-19.
Mira berkata, musibah tersebut bagaimanapun memberi hikmah yang besar terutama hubungan kekeluargaan semakin erat kerana masing-masing saling sayang-menyayangi dan memberi sokongan antara satu sama lain.
“Saya harap semua orang komited patuhi SOP, jangan keluar rumah kalau tiada urusan penting. Covid-19 memang menyakitkan. Tidak dapat saya ucapkan perasaan sakit itu. Hentikan fitnah terhadap pesakit. Selagi anda tidak dijangkiti anda tidak akan merasai seksanya diuji seperti itu," katanya yang turut berterima kasih kepada jururawat dan doktor sepanjang menerima rawatan di HSB.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!