Warga emas maut tersepit dalam kereta
KLUANG - Seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang di Batu 28, Jalan Mersing-Kluang di sini hari ini.
Dalam kejadian pada jam 9.56 pagi itu, kemalangan tersebut melibatkan kereta Mercedes-Benz E200 dengan sebuah Lori jenis Nissan tiga tan.
Kemalangan tersebut mengakibatkan pemandu kereta berkenaan, Lai Sin Yin, 90, tersepit di tempat duduk pemandu.
Seramai 11 anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Kluang dengan sebuah jentera Light Fire Rescue Team (LFRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) serta satu unit Rapid Intervention Motorcycle (RIM) dikejarkan ke tempat kejadian.
Komander Operasinya, Pegawai Bomba Kanan II, Shamsul Amri Shahab berkata, setibanya di tempat kejadian pemandu dan kalendan lori, Mohd Riduan Zakaria, 29, dan Johari Ahmad, 59, sudah dikeluarkan orang awam.
"Pemandu kereta yang tersepit pula berjaya dikeluarkan dengan menggunakan rescue tools. Pemeriksaan Pegawai Perubatan Kementerian Kesihatan mendapati mangsa sudah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, mayat kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 11.35 pagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!