Kebajikan bukan untuk menang sorak

No Image Caption
A
A
A

PANDEMIK koronavirus (Covid-19) telah menjejaskan semua pihak sama ada kerajaan, perusahaan dan perniagaan, pekerja, pelajar dan tidak terkecuali haiwan.

Beberapa hari lalu, dermawan dan pendakwah terkenal, Ebit Lew menulis dalam akaun media sosialnya: “Sayu rasa hati bila dapat permintaan dari Zoo Negara untuk selamatkan haiwan di sana. Sekarang dah banyak bulan pihak Zoo Negara tiada langsung pendapatan sejak awal PKP (Perintah Kawalan Pergerakan). Mereka sangat kekurangan dana. Saya tahu tengah hari tadi. Petang ini terus bawa 200 kilogram (kg) daging lembu dan 500kg buah-buahan serta sayuran.”

Tulisan sebegitu sentiasa mendapat sambutan warganet kerana ia berunsur belas ihsan dan simpati, namun kerap tulisan sebegitu juga boleh mengelirukan rakyat.

Acara kebajikan yang menular cepat dalam media sosial kerap dijadikan premis hujah mengherdik kegagalan organisasi kerajaan. Sebelum ini juga ramai membandingkan usaha Ebit Lew dengan Baitulmal.

Realitinya, Baitulmal tertakluk kepada prosedur kewangan bagi memastikan bantuan yang lebih adil kepada semua kelompok asnaf, tiada penyelewengan atau penipuan.

Dermawan NGO seperti Ebit Lew pula mempunyai kuasa yang lebih luas kerana penyumbang tidak mempersoalkan perincian sumbangan. Ebit Lew juga menggunakan wang sendiri yang boleh mengikut budi bicaranya.

Itu bukan bermakna apa yang Ebit Lew lakukan berniat jahat atau untuk bermegah. Misalnya, catatan sumbangan beliau di media sosial akan memberi inspirasi serta mewujudkan keprihatinan masyarakat untuk menderma kepada Ebit Lew dan Zoo Negara.

Zoo Negara pula bukanlah milik kerajaan. Sejak dibuka pada 14 November 1963, ia diuruskan oleh NGO, Malaysian Zoological Society secara separa komersial.

Artikel Berkaitan:

Zoo yang mempunyai lebih 5,137 haiwan itu berhadapan kos pengurusan sekitar RM1.2 juta sebulan. Sebanyak RM850,000 diperuntukkan untuk membayar gaji kakitangan, RM350,000 (makanan dan ubat haiwan), RM140,000 (bil elektrik) dan RM40,000 (bil air).

Sejak dahulu, kos pengurusan Zoo Negara bergantung kepada aktiviti komersial seperti jualan tiket dan acara, sumbangan kerajaan serta penderma individu dan korporat.

Sudah tentu tanpa jualan tiket dan tajaan komersial, Zoo Negara terpaksa merayu sumbangan bagi menampung keperluan makanan haiwan.

Namun, itu tidak bermakna jika Ebit Lew tidak datang membawa 200kg daging lembu dan 500kg buah-buahan serta sayuran, maka semua binatang itu akan mati kelaparan.

Sebaliknya, dengan sumbangan tersebut, Zoo Negara dapat menjimatkan dana kecemasan mereka pada masa akan datang. Misalnya, pada April lalu, Zoo Negara menerima sumbangan makanan dan perubatan haiwan bernilai RM300,000 dan hanya mengeluarkan RM50,000 daripada tabungan mereka untuk menampung keperluan haiwan pada bulan tersebut.

Zoo Negara juga berjaya mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak sebanyak RM10.6 juta sejak Januari hingga September lalu.

Dalam keadaan kita menumpukan kepada Zoo Negara, jangan dilupakan nasib haiwan di 14 buah zoo dan 20 Pusat Pameran Tetap Hidupan Liar (ZPT) lain di seluruh Malaysia.

Kerajaan melalui Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menyediakan Dana Prihatin Kebajikan Hidupan Liar bagi Covid-19 sebanyak RM10.2 juta, dan Zoo Negara sendiri menerima sebanyak RM1.3 juta.

Sudah tentu itu tidak mencukupi tetapi pada zaman sukar, ia memerlukan semua pihak bekerjasama dalam kemampuan masing-masing membantu pihak memerlukan.

Tidak penting bantuan itu daripada pihak kerajaan, korporat, NGO atau individu, yang utama adalah bantuan itu sampai kepada mereka yang memerlukan.

Sesungguhnya usaha kebajikan harus disemarakkan, bukan diadu domba untuk memecah belah masyarakat.

* Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!