PKPB elak lonjakan mendadak gelombang ketiga Covid-19

Dr Noor Hisham pada sesi menjawab soalan yang dikemukakan media selepas Taklimat Khas Covid-19 hari ini. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham pada sesi menjawab soalan yang dikemukakan media selepas Taklimat Khas Covid-19 hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Langkah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di beberapa negeri berjaya mengelak angka jangkitan kes koronavirus (Covid-19) dalam negara melonjak secara mendadak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pada peringkat awal gelombang ketiga wabak itu, beberapa agensi termasuk Imperial College di London menjangkakan bilangan kes akan meningkat sehingga 5,000 ke 8,000 kes sehari.

"Saya sendiri pernah mengatakan bahawa jangkaan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah 4,500 kes sehari pada hujung Oktober.

"Tetapi ini tidak berlaku kerana kita melaksanakan PKPB, jadi ada keberkesanannya. Bagaimanapun, peperangan kita tidak berakhir lagi," katanya pada Taklimat Khas Covid-19 lebih dua jam di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon; Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), Dr Hishamshah Mohd Ibrahim dan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli.

Menurutnya, pada peringkat awal penularan pandemik Covid-19 di negara ini, kerajaan melaksanakan PKP yang terbukti berkesan memutuskan rantaian jangkitan, namun menyebabkan negara kerugian kira-kira RM2.4 bilion sehari.

"Jadi ketika Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara, kami mengambil kira antara soal nyawa dan kehidupan termasuk keseimbangan antara kesihatan dan ekonomi sebelum memutuskan untuk melaksanakan PKPB.

"KKM ada mencadangkan PKP dilaksanakan di Selangor bermula 14 Oktober lalu, namun tidak dapat dilaksanakan kerana mengambil kira faktor ekonomi dan digantikan dengan PKPB," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian bagi mengulas desakan netizen yang mahukan PKP dilaksanakan semula di negara ini susulan lonjakan kes harian pada gelombang ketiga ketika ini.

Dalam pada itu katanya, buat masa ini pihaknya hanya melaksanakan saringan Covid-19 secara besaran-besaran bersasar seperti individu yang pulang dari tempat berisiko tinggi dan pekerja warga asing.

"KKM juga mencadangkan untuk melaksana saringan berkala ke atas pekerja sektor berisiko seperti pembinaan dan pengeluaran di negeri tertentu termasuk Lembah Klang, Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Sabah," katanya.

Sementara itu, Dr Norhayati berkata, Malaysia sudah bersedia lebih awal dari segi fasiliti untuk menangani kebarangkalian berlakunya pandemik seperti Covid-19 yang melanda negara dan dunia.

"Pada Disember tahun lepas, Malaysia menjemput pakar luar negara dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membuat penilaian terhadap kesiapsagaan Malaysia terhadap sebarang kejadian yang mungkin akan berlaku dan pakar itu mendapati Malaysia telah memenuhi segala keperluan yang digariskan," katanya.

"Di sebalik kesediaan KKM mengawal pandemik ini, berita-berita palsu yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab antara cabaran yang perlu ditangani sebaiknya," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!