Puluhan burung kakak tua disumbat dalam botol
FAKFAK - Puluhan burung kakak tua disumbatkan ke dalam botol air plastik ditemui di atas kapal yang berlabuh di wilayah Papua, Indonesia semalam.
Polis di bandar Fakfak berkata, penemuan 64 burung spesies black-capped lory tersebut dibuat selepas kru kapal itu terdengar bunyi bising dan pelik daripada sebuah kotak besar.
"Sebanyak 10 bangkai burung lain dijumpai pada pagi kelmarin. Kru kapal terbabit mendakwa mereka mengesyaki mungkin terdapat haiwan di dalam kotak terbabit," kata jurucakapnya, Dodik Junaidi.
Sehingga kini, tiada sebarang tangkapan dibuat dan lokasi untuk menyeludup kesemua burung itu juga masih tidak jelas.
Difahamkan, spesis burung kakak tua black-capped lory berasal daripada New Guinea dan kepulauan kecil berhampiran.
Burung eksotik yang yang diseludup kumpulan sindiket biasanya dijual sebagai haiwan peliharaan atau simbol status.
Harga beberapa jenis burung seperti Australian palm cockatoo boleh mencecah sehingga AS$30,000 (RM122,775) di pasaran gelap.
Pada 2017, pihak berkuasa Indonesia pernah menemui 125 burung eksotik yang disumbatkan di dalam saluran paip ketika serbuan menyasarkan sindiket perdagangan hidupan liar. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!