11 remaja dicekup berpesta dalam bilik sewa

Ahmad Shukri Mat Akhir
Ahmad Shukri Mat Akhir
A
A
A

ALOR SETAR - Sekumpulan remaja ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dengan berkumpul dalam bilik sewa untuk bersuka ria.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seramai 11 remaja itu ditahan dalam serbuan dilakukan oleh sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.

"Kita dapati ada sebilangan remaja yang tidak mahu mematuhi PKPB dengan menyewa rumah tumpangan dan sebagainya ekoran penutupan pusat hiburan ketika tempoh pelaksanaan PKPB.

"Jadi, sebagai alternatif ada yang menyewa rumah tumpangan untuk mengadakan aktiviti diinginkan mereka, misalnya bersuka-ria dan berpesta," katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya PKPB di hadapan Balai Polis Alor Janggus, tengah malam tadi.

Ahmad Shukri (kiri) mengangkat penghadang jalan di sekatan jalan raya PKPB di hadapan Balai Polis Alor Janggus, tengah malam tadi.
Ahmad Shukri (kiri) mengangkat penghadang jalan di sekatan jalan raya PKPB di hadapan Balai Polis Alor Janggus, tengah malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar, Superintendan Mohd Redzuan Salleh.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya telah mengesan aktiviti itu dan menahan 11 individu tersebut kerana melanggar PKPB disebabkan tidak mengamalkan penjarakkan fizikal sebelum mereka dikenakan kompaun.

"Kesemua 11 individu terbabit antara 60 orang dikenakan kompaun sepanjang tempoh PKPB di Kota Setar selama dua minggu bermula 9 November lepas kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," kata beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Shukri berkata, kompaun itu dikenakan atas kesalahan dilakukan, antaranya tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan SOP ditetap seperti mengamalkan penjarakkan fizikal.

Dalam perkembangan lain, katanya, pihaknya telah melakukan enam sekatan jalan raya dan penutupan jalan di beberapa kawasan di sempadan Kota Setar ketika tempoh PKPB.

Difahamkan, dengan penamatan PKPB di Kedah kecuali di Kulim seperti diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hanya sekatan jalan raya di dua tol akan diteruskan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!