Aishah menghitung hari bertemu semula suami di Johor
SINGAPURA - [DIKEMASKINI] “Love knows no distance; it hath no continent; its eyes are for the stars” - Gilbert Parker.
Mungkin itu kata-kata yang sesuai untuk Aishah Rahmat, seorang warga emas rakyat Singapura yang terpisah selama lapan bulan dengan suaminya yang kini berada di Johor, Malaysia berikutan syarat ketat yang dikenakan di pintu sempadan kedua-dua negara bagi mengekang wabak koronavirus (Covid-19).
Apatah lagi, hari ini merupakan hari jadi suaminya, Yaacob Moin, 63, yang juga warga Singapura dan beliau juga bimbang kerana suaminya tinggal seorang diri di Johor Bahru kerana anak-anaknya turut berada di Singapura.
Sepanjang tempoh itu, suri rumah berusia 61 tahun itu menjadikan Facebook sebagai ‘sahabat karib’ beliau meluahkan kesedihannya terpaksa berpisah dengan suami tercinta.
Pada 15 November, beliau menulis hantaran: “15.03.20 - 15.11.20. Today is exactly 243 days since I was away from my husband. We are all tested to be patient and resilient until this Covid-19 pandemic passes” (15.03.20 - 15.11.20. Hari ini genap 243 hari sejak saya terpisah sementara dengan suami. Kita semua diuji untuk bersabar dan tabah sehingga pandemik Covid-19 ini berakhir).
Aishah turut berkongsi pautan satu lagu nasyid dalam laman sosialnya itu iaitu ‘Perjalanan Hati’.
Baru-baru ini, Bernama berpeluang bertemu Aishah dan kesedihannya tidak dapat ditanggung lagi kerana bukan sahaja terpaksa berpisah jauh dengan suami, tetapi juga wabak yang boleh membawa maut ini menyebabkan hasratnya untuk menunaikan umrah pada 13 Mac lepas terkubur.
“Kami baru sahaja hendak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum menerima panggilan daripada syarikat pengurusan umrah bahawa perjalanan kami dibatalkan,” katanya.
Dua hari kemudian, Aishah yang tidak mempunyai pas lawatan jangka panjang untuk tinggal di Malaysia lebih 30 hari, perlu pulang ke Singapura dan bermulalah episod perpisahan dengan suaminya itu.
“Saya tiada pilihan melainkan kekal berada di Singapura sebaik sahaja kerajaan Malaysia mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai 18 Mac,” katanya yang tinggal bersama sepupunya di Tampines sementara waktu.
Aishah yang berulang-alik ke Johor Bahru sejak 15 tahun lepas berkata, beliau tidak menyangkakan tempoh PKP itu yang pada mulanya ditetapkan selama dua minggu berlarutan sehingga ke lapan bulan.
Apa yang lebih memilukan apabila suaminya tidak dapat berjumpa adiknya, Salim Moin, 59, yang juga bekas pemain bola sepak Singapura, buat kali terakhir apabila meninggal dunia pada 7 November lepas di seberang tambak.
“Suami hanya menyaksikan pengebumian melalui panggilan video,” kata Aishah yang turut berkongsi sekeping gambar Yaacob dan Salim kepada Bernama pada kali terakhir mereka berjumpa pada majlis perkahwinan anak mereka di Singapura, Februari lepas.
Salim, 59, pernah mewakili The Lions bersama Fandi Ahmad di peringkat akhir Piala Malaysia 1980 bertemu Selangor yang dipimpin Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari ketika itu.
Aishah berkata, sejak dikejutkan dengan kematian adik ipar secara tiba-tiba, beliau semakin bimbang dengan kesihatan suami yang seorang diri dan sentiasa berpesan dan berdoa agar suaminya sentiasa sihat.
Bagi mengubat kesedihan dan mengisi masa, Aishah berkata, beliau menyertai pengajian agama secara dalam talian setiap hari mulai 20 Mac lepas.
“Saya juga manfaatkan ‘SkillFutureSG Credit’ yang disediakan kerajaan Singapura. Saya belajar tentang penggunaan komputer, telefon bimbit dan tablet,” katanya yang pernah bekerja sebagai setiausaha di beberapa syarikat antarabangsa.
Wanita dua anak ini amat berharap agar PKP Pemulihan akan berakhir pada 31 Disember kelak sekali gus langkah ketat di sempadan dapat dilonggarkan agar dapat bertemu semula suaminya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!