Ahli Parlimen tolak RUU Pembekalan 2021 bukan pengkhianat
SHAH ALAM - Minggu ini menjadi medan ujian paling penting bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) terutama berkenaan sokongan terhadap Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2021.
Begitupun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan PN tidak boleh menyalahkan ahli Parlimen yang tidak menyokong dan menganggap mereka sebagai pengkhianat.
"Ia seperti perlawanan bola sepak. Kalau leka dan pintu gol terbuka jangan salahkan penyerang. Tak ada yang kata siapa yang sumbat gol adalah pengkhianat," katanya di laman Facebooknya hari ini.
Sebaliknya, beliau berkata, masa depan gabungan parti kerajaan PN itu bergantung kepada kebijaksanaan menteri-menteri kerajaan ketika menggulung perbahasan dan memberikan hujah.
"Sebelum ini, kisah pengundian bajet hampir ditolak adalah biasa. Minggu depan pengundian di peringkat dasar, selepas itu banyak pengundian-pengundian lain di peringkat jawatankuasa.
"Waktu itu menteri-menteri kena pandai menjawab dan berbahas. Tak ada siapa boleh bantu. Ada kala pengundian dibuat jam 2 atau 4 pagi. Boleh ditonton live melalui internet," katanya.
Pada minggu ini dijangka menteri akan mula menggulung perbahasan peringkat dasar mengenai RUU Perbekalan 2021 pada hari Isnin.
Sekiranya semuanya berjalan lancar mengikut jadual, penggulungan perbahasan itu akan berlangsung pada hari Khamis, setelah itu akan ada undian mengenai belanjawan.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Kemaman itu menyifatkan perbahasan peringkat dasar mengenai RUU Perbekalan 2021 pada kali ini adalah 'luar biasa' berbanding yang terdahulu.
"Kali ini luar biasa sikit. Ada titah yang meminta bajet disokong namun kerajaan tak boleh berlindung di sebalik titah sebagai tanda sokongan kepadanya.
"Nak jadi kerajaan tak boleh dilihat bina tembok besar menutup pintu gol takut disumbat. Sebab itu ada cadangan perlunya ada usul undi percaya menyusul selepas bajet diluluskan," katanya.
Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah menasihati ahli Parlimen supaya menyokong Belanjawan 2021 tetapi keadaan masih kelihatan boleh berubah-ubah.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gua Musang yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah pula mendesak supaya usul undi tidak percaya turut diperdebatkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!