Disangka gastrik rupanya kanser otak tahap empat
JITRA - Seorang murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan (SK) Jitra 2 di sini berubah menjadi seorang pendiam apabila disahkan menghidap penyakit kanser otak tahap empat pada Julai lalu.
Muhamad Danial Mohamad Nasri, 8, kini lebih banyak berehat di rumah kerana badannya lemah berbanding keluar bermain setiap hari seperti sebelum ini.
Ibunya, Azlina Abdul Aziz, 29, berkata, penyakit anak sulungnya itu dikesan selepas menjalani pembedahan membuang air dalam kepala di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.
"Sebelum itu, Muhammad Danial kerap muntah. Saya dan suami (Mohamad Nasri Juwanda, 30) membawanya ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan.
"Ketika itu, doktor maklumkan anak saya hanya menghidap gastrik, namun keadaannya semakin teruk dan kami kemudian membawanya ke Klinik Kesihatan Tunjang sebelum dirujuk ke HSB," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kenanga dekat sini hari ini.
Terdahulu, Muhamad Danial menerima kunjungan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan, Pembangunan Insan Negeri Kedah, Datuk Siti Aisyah Ghazali yang turut melawat dan menyampaikan sumbangan tunai bantuan persekolahan khas daripada Yayasan Pelajaran Mara (YPM).
Azlina berkata, sangkaan awal mereka bahawa anaknya menghidap gastrik meleset apabila keputusan pembedahan membuang air dalam kepala Muhamad Danial di HSB selepas ditahan dua minggu di wad mengesahkan dia menghidap kanser.
"Anak kami telah dijadualkan untuk menjalankan rawatan kemoterapi sebanyak lapan kali bermula 30 November ini di Hospital Pulau Pinang dan dijangka habis pada Jun tahun 2021.
"Suami saya hanya bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai kek dan dengan gaji RM1,200 sebulan memang tidak mampu menampung kos perubatan anak. Lagipun sekarang dia tidak dapat gaji penuh kerana perlu menjaga anak jika ditahan di wad," katanya.
Sementara itu, Mohamad Nasri berkata, kadangkala dia pernah mendapat gaji sekitar RM600 sebulan kerana mengikut jumlah hari bekerja dan bantuan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) sebanyak RM200 digunakan untuk tujuan perubatan anaknya.
"Saya perlu menjaga anak bongsu berumur empat tahun jika isteri menjaga Muhammad Danial sekiranya dimasukkan ke dalam wad. Kami kini tinggal bersama ibu saya yang juga merupakan pesakit kanser payudara," katanya.
Bagi sesiapa yang mahu menghulurkan bantuan boleh hubungi Mohamad Nasri di talian 019-4162711 atau menyalurkan bantuan ke akaun BSN 02100-29-00052770-0 (Mohamad Nasri Juwanda).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!