Dua juruterbang buat pendaratan cemas tidak cedera
KULAI - Dua juruterbang pesawat ringan yang membuat pendaratan cemas di Kilometer 47 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan pagi tadi tidak mengalami sebarang kecederaan.
Juruterbang terbabit ialah Yang Kuang Ying, 52, dan Saleehullah Abdul Majid, 41, kedua-duanya warganegara Singapura.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Renggam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.13 pagi sebelum 10 anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, sebuah pesawat ringan jenis Beebchcraft Bonanza F351957 yang membuat pendaratan cemas di atas lebuh raya berkenaan akibat kegagalan enjin.
"Dua juruterbang itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Pesawat ringan tersebut berjaya membuat pendaratan cemas di lorong kecemasan lebuh raya," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Menurut Asyraf Nur, bomba bagaimanapun bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang kemungkinan lain, manakala pesawat ringan berkenaan sedang menunggu bantuan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Senai untuk tindakan selanjutnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat ringan mendarat cemas, bukan terhempas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!