Covid-19: Mutawif jadi tauke bidara

Mat Samsudin turut menjual anak pokok bidara dan ia mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.
Mat Samsudin turut menjual anak pokok bidara dan ia mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai.
A
A
A

KOTA BHARU - 'Serangan' Covid-19 sejak Mac lalu mengubah kehidupan seorang mutawif, Mat Samsudin Abdullah, 60, dari Kampung Kubur Maras, di sini apabila dia tidak lagi dapat terbang ke tanah suci Makkah untuk membawa jemaah bagi mengerjakan ibadah umrah.

Mat Samsudin berkata, dia sama sekali tidak menyangka pandemik itu memberikan impak yang cukup besar buat seluruh isi dunia termasuklah dirinya sehingga terpaksa mengubah haluan dengan menceburi perniagaan dengan menjual buah bidara.

"Buah bidara yang saya jual ini bersaiz epal hijau dan rasanya lebih manis. Selain itu, buah bidara kaya dengan vitamin A, B dan C yang baik untuk kesihatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, dia turut menjual anak pokok bidara yang dimport dari Thailand dengan harga antara RM25 hingga RM30 untuk satu pokok dan bergantung kepada saiz.

Beliau berkata, dia terkejut apabila percubaannya itu membuahkan hasil dan mendapat permintaan tinggi dalam kalangan masyarakat.

Katanya, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang menjadikan berkebun sebagai aktiviti mengisi masa lapang mereka.

Mat Samsudin yang merupakan seorang mutawif kini menjadi tauke buah bidara dek penangan Covid-19.
Mat Samsudin yang merupakan seorang mutawif kini menjadi tauke buah bidara dek penangan Covid-19.

"Alhamdulillah, sambutan yang saya terima cukup luar biasa dan boleh dikatakan tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan para pelanggan.

Artikel Berkaitan:

"Pokok bidara ini bukan sahaja mudah ditanam malah boleh berbuah sepanjang tahun dan sesuai dijadikan sebagai tanaman hiasan.

"Selain itu, rasanya yang manis membuatkan para penggemarnya kecur air liur," katanya.

Mat Samsudin berkata, dia juga mahu mengubah stigma orang ramai yang beranggapan pokok ini hanya sesuai ditanam di kawasan tanah perkuburan semata-mata.

Katanya, pokok bidara mempunyai manfaat besar dalam dunia perubatan Islam apabila daunnya dikatakan mampu menjadi penawar (dengan izin ALLAH) kepada masalah gangguan jin dan iblis.

Beliau berkata, masyarakat yang terkesan dengan Covid-19 ini diharap supaya tidak mudah berputus asa dalam mencari rezeki.

"Buatlah apa pun pekerjaan asalkan ia mendatangkan rezeki yang halal dan jangan malu untuk mencuba sesuatu demi kelangsungan hidup," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!