Pesawat ringan mendarat cemas kerana masalah teknikal
PUTRAJAYA - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan jenis Beechcraft Model 35 Bonanza mendarat cemas di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) (arah selatan) dekat Sedenak, Johor pagi tadi.
Dalam kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif CAMM, Kapten Chester Voo berkata, Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Johor menerima panggilan pada jam 10.40 pagi daripada juruterbang pesawat berkenaan.
Menurutnya, menerusi panggilan yang dibuat juruterbang terbabit memohon untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru kerana menghadapi masalah teknikal.
"Pesawat persendirian yang dikendalikan oleh Premier Air Singapore itu berada dalam penerbangan dari Senai ke Melaka.
"Dua juruterbang warganegara Singapura dilaporkan berada di dalam keadaan yang stabil dan pesawat telah dipindahkan ke lokasi yang tidak menghalang lalu lintas di lebuh raya," katanya dalam kenyataan itu.
Katanya, pasukan mencari dan menyelamat telah menyelesaikan semua tugas-tugas yang diperlukan.
"Bagaimanapun, siasatan lanjut akan dilakukan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesawat ringan mendarat cemas, bukan terhempas
Dua juruterbang buat pendaratan cemas tidak cedera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!