'Tiga kali banjir dalam seminggu'

 Dalina membersihkan rumahnya di Kampung Ulu Pulai selepas banjir surut pagi tadi.
Dalina membersihkan rumahnya di Kampung Ulu Pulai selepas banjir surut pagi tadi.
A
A
A

PONTIAN - "Minggu ini sahaja sudah tiga kali rumah dinaiki air," kata Dalina Daud, 40, penduduk di Kampung Ulu Pulai, di sini.

Katanya, hujan tidak menentu sejak seminggu lalu ditambah air pasang menyebabkan rumahnya yang terletak berdekatan sungai sering ditenggelami air sehingga mencecah paras kira-kira 0.3 meter.

Jelasnya, hujan tidak berhenti sejak jam 2 petang semalam menyebabkan rumahnya dinaiki air berikutan air Sungai Pulai melimpah.

"Memang sudah bersedia awal. Hujan tidak berhenti dalam tempoh setengah jam, saya bersama suami dan tiga orang anak akan bersiap sedia kemaskan barang untuk hadapi banjir.

“Setiap kali banjir kami sekeluarga akan mengalami kerugian sebab banyak barang yang rosak. Kami juga perlu kemas dan bersihkan rumah yang dipenuhi lumpur selepas banjir surut, memang memenatkan," katanya.

Seorang lagi penduduk, Siti Aisah Abu Bakar, 34, berkata, dia bersama ibunya berpindah ke PPS di Dewan Masjid Jamek Kampung Ulu Pulai semalam.

Kamal (dua dari kiri) meninjau keadaan penduduk yang ditempatkan di PPS Dewan Masjid Jamek Kampung Ulu Pulai pagi tadi.
Kamal (dua dari kiri) meninjau keadaan penduduk yang ditempatkan di PPS Dewan Masjid Jamek Kampung Ulu Pulai pagi tadi.

Katanya, selepas pulang membeli barang keperluan di Johor Bahru kira- kira jam 5 petang semalam, dia mendapati laluan masuk menuju rumahnya tidak boleh dilalui kerana banjir.

Artikel Berkaitan:

"Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang berada di laluan masuk meminta kami ke PPS kerana aliran air begitu deras dan bahaya untuk kami meredah air untuk ke rumah.

"Selepas banjir mulai surut saya kembali ke rumah kira-kira jam 6.30 pagi. Kawasan sekeliling rumah dipenuhi lumpur," katanya.

Sementara itu, Pengarah APM Johor, Kamal Mokhtar berkata, dua PPS dibuka di negeri ini semalam bagi menempatkan mangsa banjir iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Pasir dan Dewan Masjid Jamek Kampung Ulu Pulai.

Katanya, keadaan cuaca baik pada sebelah pagi membolehkan air surut dan penduduk boleh melakukan kerja- kerja mengemas dan membersihkan rumah mereka.

"Seramai 350 anggota APM di Johor sentiasa bersedia berdepan situasi banjir yang dijangka melanda ketika musim hujan ketika ini.

"Peralatan dan kenderaan seperti bot, lori, 4WD telah dipersiapkan bagi setiap daerah," katanya.

Kedua-dua PPS yang menempatkan 159 mangsa banjir daripada 41 buah keluarga sejak malam tadi telah ditutup jam 2 petang hari ini berikutan banjir telah surut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!