Libatkan penjagaan kesihatan swasta perangi Covid-19: MMA

Dr M Subramaniam
Dr M Subramaniam
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk melibatkan pihak penjagaan kesihatan swasta dalam usaha melawan wabak koronavirus (Covid-19).

Presidennya, Profesor Datuk Dr M Subramaniam berkata, setakat ini pihaknya melihat keupayaan pihak penjagaan kesihatan swasta masih kurang dimanfaatkan.

Beliau berkata, kemudahan kesihatan kerajaan tidak patut dibiarkan melawan wabak itu sendirian.

"Pihak kesihatan swasta adalah komponen penting dalam sistem penjagaan kesihatan keseluruhan negara kita dan dapat menjadi kekuatan tambahan dalam menguruskan Covid-19, namun ia kurang dimanfaatkan.

"Sudah tiba masanya, kita meredakan tekanan kepada petugas kesihatan awam dan melihat kekuatan gabungan kesihatan awam dan swasta untuk meningkatkan usaha dalam pengurusan Covid-19 serta keperluan penjagaan kesihatan lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Subramaniam berkata, banyak klinik dan hospital di seluruh negara melaporkan kehadiran pesakit berkurang antara 70 hingga 80 peratus dengan pengurangan pendapatan yang signifikan dan kelangsungan perkhidmatan mereka terancam teruk.

Katanya, ramai doktor senior yang berpengalaman turut mempertimbangkan untuk gulung tikar atau bersara, selain kira-kira 200 buah klinik di seluruh negara dijangka ditutup menjelang akhir tahun ini.

"MMA percaya jika kerjasama antara kesihatan awam dan swasta dapat dilaksanakan, ia akan memberi manfaat kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Pesakit juga akan dilayani dengan lebih baik apabila kedua-dua sektor memaksimumkan perkhidmatan kesihatan berbanding bekerja secara berasingan," katanya.

Beliau berkata, kini terdapat seramai 7,000 doktor kesihatan terlatih Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 3,000 lagi pakar swasta yang berkhidmat di lebih daripada 200 hospital swasta di seluruh negara.

Menurutnya, pada tahun 2018 merekodkan sektor swasta terdiri daripada 14,649 doktor, 5,174 ahli farmasi dan 34,874 jururawat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!