Belanjawan 2021 ibarat telur di hujung tanduk

Belanjawan 2021 dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan belanjawan yang memperuntukkan dana perbelanjaan paling tinggi dalam sejarah.
Belanjawan 2021 dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) merupakan belanjawan yang memperuntukkan dana perbelanjaan paling tinggi dalam sejarah.
A
A
A

MENJELANG pengundian usul Belanjawan 2021 yang dijangka dilaksanakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 25 November ini, timbul pelbagai spekulasi mengenai hala tuju status belanjawan julung kali dibentangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Diiktiraf sebagai belanjawan terbesar dalam sejarah negara dengan nilai RM322.5 bilion, inti pati Belanjawan 2021 masih dilihat sebilangan besar ahli Parlimen, termasuk daripada Barisan Nasional (BN), sebagai kurang memuaskan bagi membela nasib rakyat terkesan akibat pandemik Covid-19.

Gesaan supaya inti pati Belanjawan 2021 ditambah baik diperhebatkan lagi oleh ahli-ahli Parlimen BN dan pembangkang dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengemukakan sokongan bersyarat, manakala Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa peruntukan menangani Covid-19 ditambah.

Tuntutan dan tekanan dikemukakan mereka akhirnya mendapat respon kerajaan PN, apabila Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersetuju untuk meluaskan kebenaran pengeluaran akaun satu daripada 600,000 kepada 2 juta pencarum dengan nilai pengeluaran dinaikkan kepada RM60,000.

Bagaimanapun, langkah terbaharu kerajaan PN masih dikritik kerana disifatkan seperti bermain tarik tali, sekali gus mengundang reaksi Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan PN, Datuk Seri Shahidan Kassim yang melabelkan sesiapa yang tidak menyokong usul Belanjawan 2021 sebagai ‘pengkhianat’.

Kenyataan itu dijawab Najib yang menganggap tidak salah seseorang dipanggil pengkhianat sekiranya ‘pengkhianatan’ itu membantu memenuhi kehendak rakyat pada waktu paling terdesak akibat Covid-19.

Lebih menarik, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengusulkan ahli Parlimen kerajaan PN membuat undi percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terlebih dahulu sebelum melakukan proses pengundian usul Belanjawan 2021.

Artikel Berkaitan:

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada 6 November lalu. - Foto Bernama
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada 6 November lalu. - Foto Bernama

Rentetan polemik politik terbaharu itu, terdapat kebimbangan Belanjawan 2021 kini diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’ dengan sokongan ahli Parlimen BN dijangka menjadi penentu sama ada akan diluluskan atau tidak.

Pandangan itu diakui penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain yang menjangkakan Belanjawan 2021 berisiko tidak diluluskan susulan masih terdapat permintaan khusus sebilangan ahli Parlimen yang belum dipenuhi kerajaan PN.

“Sekiranya tidak lulus, hal ini akan memberi implikasi besar kepada kerajaan dengan kemungkinan besar negara terpaksa berdepan pilihan raya mengejut pada saat pandemik Covid-19 semakin serius.

“Saya berharap usul belanjawan dapat disokong semua ahli Parlimen kerana kerajaan sudah menunjukkan sikap keterbukaan untuk memberi respons terhadap tuntutan mereka bukan sekali, tetapi banyak kali,” katanya kepada Sinar Harian.

Di sebalik pelbagai kemelut politik tercetus daripada usul Belanjawan 2021, Mohd Izani masih melihatnya dari sudut positif dengan menganggap rakyat pemenang sebenar susulan semua parti berlumba-lumba untuk mengetengahkan idea membantu rakyat.

“Selain itu, sesi perbahasan Belanjawan 2021 juga menjadi lebih matang dan luar biasa dengan usul pengeluaran akaun satu KWSP sudah pasti memberi manfaat besar kepada rakyat," katanya.

Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain yang melihat kerajaan PN tidak benar-benar memenuhi tuntutan dikemukakan ahli Parlimen BN diketuai Ahmad Zahid dan Najib.

“Kalau kita lihat, tuntutan dikemukakan ahli Parlimen BN seperti pengeluaran wang KWSP sebanyak RM10,000 dan lanjutan moratorium secara automatik selama enam bulan adalah konsisten dan tidak berubah.

“Kerajaan PN pula dilihat seakan-akan mahu memenuhi tuntutan itu tetapi kemudiannya diubah dan dipinda bentuk pelaksanaannya sehingga menyebabkan rakyat sendiri menjadi keliru.

“Dalam konteks kehidupan rakyat kritikal akibat Covid-19, kerajaan PN tidak perlu bersifat ego. Sekiranya mereka berbesar hati menyokong cadangan ahli Parlimen BN, saya fikir isu usul Belanjawan 2021 tidak diluluskan tidak akan muncul sama sekali,” katanya.

Ahmad Atory juga tidak menolak kemungkinan usul Belanjawan 2021 akan disokong blok tidak dijangka iaitu ahli-ahli Parlimen Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Warisan Sabah (Warisan) diterajui bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Bagaimanapun, sokongan ahli Parlimen daripada dua parti pembangkang itu masih tidak mencukupi bagi membolehkan kerajaan Muhyiddin dapat meluluskan usul Belanjawan 2021, kecuali sokongan ahli Parlimen BN berpecah kepada tiga.

Ahmad Atory
Ahmad Atory

“Selain itu, istilah Shahidan menggambarkan mereka yang menolak usul Belanjawan 2021 sebagai ‘pengkhianat’ juga tidak tepat kerana cadangan bersyarat ahli Parlimen BN sebenarnya atas kepentingan dan kehendak rakyat dan bukan bersifat peribadi,” kata Ahmad Atory.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Dr Ong Kian Ming memberi petanda kesukaran ahli Parlimen blok pembangkang untuk meluluskan usul Belanjawan 2021 sekiranya kerajaan PN masih enggan memenuhi tuntutan penambahan dana Covid-19 pada tahun hadapan.

“Peruntukan untuk tahun 2020 adalah RM38 bilion tetapi peruntukan untuk tahun 2021 hanya RM17 bilion. Peruntukan pada tahun 2021 perlu ditambah sekurang-kurangnya menyamai peruntukan tahun 2020,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan PN berkemungkinan akan mengusulkan proklamasi darurat sekali lagi sekiranya usul Belanjawan 2021 tidak diluluskan, Kian Ming menegaskan cadangan itu tidak akan diterima pihak pembangkang dan juga sebilangan ahli Parlimen kerajaan seperti UMNO dan BN.

“Bagi saya, adalah lebih baik beliau (Muhyiddin) kembali ke meja rundingan yang melibatkan semua parti seperti yang dinasihati Yang di-Pertuan Agong bagi memastikan usul Belanjawan 2021 dibentang benar-benar memenuhi keperluan semua pihak,” katanya.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi pula membidas mana-mana pihak yang menuduh terma sokongan ‘Bajet Bersyarat’ dikemukakan ahli Parlimen BN sebagai ‘pengkhianat’.

Tanpa merujuk kepada Shahidan, Puad menjelaskan terma syarat ahli-ahli Parlimen BN itu adalah demi kelangsungan rakyat dan bukan untuk berkahwin dengan ‘Puteri Gunung Ledang’.

“Sebenarnya yang mengkhianati rakyat adalah (mereka) yang ego dan tidak mahu mendengar rintihan rakyat pada saat paling sukar,” ujarnya dalam satu hantaran Facebook.

Pemimpin veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad pula menyindir Shahidan yang dilihat ‘agresif’ mempertahankan usul Belanjawan 2021, walaupun UMNO tidak menyertai PN.

Sambil mempersoalkan pelantikan Shahidan sebagai Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Penyokong PN, Shahrir menganggap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai pendukung utama PN, sebenarnya penuh sarat dengan ‘pengkhianat’.

“Sekarang Shahidan guna istilah ‘pengkhianat’ terhadap mereka yang tidak sokong Belanjawan 2021. Betul-betul terdesak mempertahankan Bajet 2021!” katanya.

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!