Klopp gusar senarai kecederaan bertambah panjang
PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya selepas The Reds terus dihimpit krisis kecederaan dengan pemain tengah, Naby Keita berkemungkinan terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan hamstring.
Keita terpaksa dikeluarkan pada minit ke-53 ketika kemenangan 3-0 ke atas Leicester City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield, awal pagi tadi sekali gus menambahkan senarai panjang kecederaan pemain pasukan itu.
"Keita merasai kesakitan dan tidak dapat meneruskan perlawanan. Ia situasi yang sukar dan apabila Keita terpaksa dikeluarkan, anda tahu masalah yang kami hadapi tidak akan selesai.
"Kami perlu memastikan senarai kecederaan yang ada ini dipendekkan, namun kecederaan yang dialami Keita ini langsung tidak membantu kami," katanya.
Walaupun menerima suntikan semangat apabila pemain tengahnya, Fabinho kembali pulih daripada kecederaan, namun beberapa pemain utama lain seperti Virgil van Dijk, Joe Gomez, Jordan Henderson, Thiago Alcantara, Trent Alexander-Arnold, Alex Oxlade-Chamberlain dan Xherdan Shaqiri masih belum pulih sepenuhnya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangan ke atas Leicester, Klopp memuji pemainnya yang tetap fokus walaupun pasukan kehilangan ramai pemain utama akibat kecederaan.
"Kami menjaringkan tiga gol dan langsung tidak bolos. Kami bertahan dengan sangat baik, menguasai perlawanan dan melakukan banyak perkara bagus di atas padang.
"Saya tidak boleh memilih pemain terbaik dalam perlawanan ini kerana semuanya bagus, tetapi mungkin sedikit kredit boleh diberikan kepada James Milner yang bermain di pertahanan kanan dan turut bermain di bahagian tengah.
"Itu yang saya harapkan daripada pemain. Memang kecederaan merupakan kejutan besar kepada kami, tetapi pemain memberikan penyelesaian," katanya.
Dalam perlawanan itu, gol sendiri pertahanan Leicester, Jonny Evans memberikan gol pendahuluan buat Liverpool sebelum Diogo Jota menambah gol kedua pada minit ke-41 dan Roberto Firmino melengkapkan kemenangan Liverpool dengan gol ketiga pada minit ke-86.
Kemenangan itu sekali gus melebarkan rekod tanpa kalah The Reds di Anfield kepada 64 perlawanan - rekod tanpa kalah terbanyak dalam sejarah kelab tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!