Pertandingan Kuiz ASEAN 2020 dapat sambutan hebat

No Image Caption
A
A
A

Pertandingan Kuiz ASEAN 2020 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung dari 1 hingga 31 Oktober 2020 lalu mendapat sambutan yang baik daripada orang ramai.

Pertandingan yang dianjurkan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Kementerian Luar Negeri (KLN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM19,000.

Pertandingan yang diadakan secara dalam talian ini melibatkan dua kategori utama iaitu Kategori Murid Sekolah Menengah Kerajaan / Swasta berumur 15 hingga 17 tahun dan Kategori Terbuka Warganegara Malaysia berumur 18 hingga 40 tahun.

Pertandingan ini merupakan program dwi-tahunan di bawah kalendar ASEAN-COCI (Committee of Culture and Information) dan dilaksanakan oleh semua negara anggota ASEAN bagi memilih tiga peserta terbaik ke peringkat ASEAN Quiz Regional Level.

Pertandingan Kuiz ASEAN 2020 Peringkat Kebangsaan ini adalah bertujuan untuk meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran mengenai hal ehwal ASEAN dalam kalangan para peserta.

Selain itu, pertandingan ini juga dapat meningkatkan minat membaca serta menggalakkan para peserta mendapatkan maklumat dan informasi lebih lanjut mengenai sesebuah negara anggota ASEAN terutamanya berkaitan aspek kebudayaan, politik, ekonomi dan sosial negara-negara ASEAN.

Hebahan dan promosi merangkumi pelbagai media seperti di radio, televisyen, dan penerbitan poster serta media baru seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube dan lain-lain. Semua aktiviti promosi dan publisiti secara besar-besaran dilakukan bermula pada 1 September 2020 dengan rangkaian terbesar medium Jabatan Penerangan Malaysia.

Pertandingan Kuiz ASEAN 2020 Peringkat Kebangsaan ini telah mendapat sambutan yang amat baik dalam kalangan peserta dan mencatatkan jumlah penyertaan tertinggi sejak penganjurannya pada tahun 2002 iaitu sebanyak 47,091 penyertaan.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, sebanyak 25,595 penyertaan dari Kategori Murid Sekolah dan 21,496 penyertaan Kategori Terbuka. Kebanyakan peserta terdiri daripada Sekolah Menengah Kerajaan, Swasta, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP), International School dan sebagainya menyertai pertandingan ini melalui laman web rasmi di www.penerangan.gov.my atau www.kuizasean.penerangan.gov.my

Semua peserta bertanding atas nama individu bukan kumpulan seperti mana pertandingan kuiz lain sebelum ini, walaupun mewakili sekolah yang sama.

Pemenang ditentukan berdasarkan markah tertinggi dan masa terpantas. Senarai nama pemenang telah dipaparkan di laman web Jabatan Penerangan Malaysia dalam tempoh tujuh hari bekerja dan keputusan panel hakim adalah muktamad.

Berikut senarai pemenang kategori Murid Sekolah Menengah Kerajaan / Swasta berumur 15 hingga 17 tahun:

No Image Caption

Berikut pula senarai pemenang Kategori Terbuka Warganegara Malaysia berumur 18 hingga 40 tahun:

No Image Caption

Pemenang bagi setiap kategori menerima hadiah utama berupa wang tunai iaitu Johan menerima wang tunai bernilai RM2,500, Naib Johan RM1,500, Ketiga RM1,000 berserta trofi dan sijil. Manakala hadiah keempat dan kelima menerima wang tunai RM750 dan hadiah saguhati menerima wang tunai RM300 seorang berserta sijil.

Pemenang Johan, Naib Johan dan Ketiga bagi kategori murid sekolah akan mewakili Malaysia ke peringkat rantau pada 16 dan 17 Disember 2020 yang dianjurkan oleh Singapura.

Pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang tunai sebanyak USD 1,500 (Johan), USD 1,200 (Naib Johan) dan USD 900 (Ketiga).

No Image Caption

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!