24,290 didaftar rumah bebas tanpa rokok

Rina Mohd Harun
Rina Mohd Harun
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperluaskan Program Rumah Bebas Tanpa Amalan Merokok ke seluruh negara sebagai usaha mengelak remaja menjadi mangsa aktiviti berkaitan tembakau.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sehingga kini sebanyak 24,290 rumah telah didaftarkan menerusi program itu dan kempen bebas asap rokok sekunder akan digiatkan lagi dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pembangunan Garis Panduan Kaunseling Sosial Masalah Merokok Dalam Kalangan Remaja yang diguna pakai di fasiliti Kafe @TEEN LPPKN.

“Matlamat garis panduan ini adalah untuk menjadikan remaja sihat tanpa amalan merokok dan seterusnya menjadi ejen perubahan tingkah laku kepada ibu bapa yang merokok.

“LPPKN mempunyai 18 pusat remaja KafeTEEN untuk remaja berumur 13 hingga 24 tahun yang menyediakan program dan perkhidmatan mempromosi dan memberikan latihan kemahiran hidup bagi tujuan gaya hidup sihat, termasuk program anti merokok serta Klinik Kaunseling Berhenti Merokok," katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Fuziah Salleh (PKR- Kuantan) mengenai status kerjasama dengan KKM untuk menangani gejala asap rokok sekunder atau ‘Secondhand Smoke’ oleh ibu bapa yang merokok.

Katanya, promosi anti merokok dilaksanakan dalam bentuk ceramah dan perbincangan kecil (TEEN Chat) serta topik ini dimasukkan sebagai aktiviti di dalam Modul Kesihatan Reproduktif LPPKN Untuk Remaja.

Dalam pada itu, Rina (Bersatu-Titiwangsa) berkata, kementeriannya mengalu-alukan sebarang cadangan dari ahli Parlimen bagi menjayakan usaha mengekang remaja dari terdedah asap rokok sekunder.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini, belum ada sebarang insentif diberikan tetapi langkah yang kita ambil ialah dengan mengehadkan aktiviti merokok dalam kalangan orang dewan selain memperluaskan program rumah bebas tanpa asap rokok,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!