Trend peningkatan harga minyak sawit ketara
KUALA LUMPUR - Harga minyak sawit mentah menunjukkan trend peningkatan begitu ketara kepada RM3,581.50 satu tan pada 19 November berbanding paras terendahnya iaitu RM2,021.50 satu tan pada 12 Mei lalu.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, peningkatan itu adalah sebanyak RM1,560 atau bersamaan dengan 77.17 peratus.
Menurutnya, peningkatan harga minyak sawit mentah itu turut menyebabkan harga buah tandan segar sawit di pintu kilang turut meningkat kepada RM760 satu tan berbanding RM408 satu tan dalam tempoh sama.
"Ini menunjukkan bahawa usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan telah berjaya meningkatkan harga minyak sawit," katanya.
Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) mengenai usaha yang dilaksanakan kementerian itu bagi menstabilkan harga sawit sekali gus meningkatkan pendapatan khususnya pekebun kecil di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, Jeck Seng berkata, bagi meningkatkan pendapatan pengusaha dan pekerja dalam industri sawit, khasnya pekebun kecil, kerajaan telah mengumumkan pengecualian 100 peratus duti eksport.
Menurutnya, pengecualian itu adalah ke atas minyak sawit mentah, minyak isirung sawit mentah dan minyak isirung sawit RBD mulai 1 Julai hingga 31 Disember 2020 dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
"la adalah bertujuan untuk menguruskan paras stok dan menstabilkan harga minyak sawit negara. Pengecualian cukai ini akan mendorong penggiat industri untuk mengeksport lebih banyak minyak sawit dan membantu menjana pendapatan yang lebih tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!