Bekas CEO, isteri bakal didakwa pecah amanah RM140 juta
PUTRAJAYA - Seorang bekas ketua pegawai eksekutif bergelar Datuk dan isterinya bakal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Jenayah Rasuah di Shah Alam, Selangor esok atas pertuduhan membuat tuntutan palsu dan pecah amanah berjumlah kira-kira RM140 juta.
Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 63 tahun itu ditahan pada kira-kira 9.40 pagi tadi ketika hadir di ibu pejabat SPRM di sini untuk memberi keterangan.
Menurut sumber SPRM itu, individu bergelar Datuk tersebut bakal berdepan beberapa pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM8 juta dan pertuduhan pecah amanah bernilai kira-kira RM132 juta dari 2013 hingga 2017.
Sementara isterinya yang merupakan pengarah sebuah syarikat swasta dijangka menghadapi pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan itu, katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!