Kelantan mungkin sambung PKPB jika kes masih tinggi
KOTA BHARU - Kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kelantan disambung sekiranya kes di negeri itu masih meningkat.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, perkara tersebut akan ditentukan berpandukan tempoh masa dua minggu sejak PKPB dimulakan.
“Ada kenyataan daripada pakar yang mengatakan kemungkinan jangkitan Covid-19 di Kelantan menjadi seperti Sabah memandangkan sifat penduduk negeri ini yang suka bersosial.
“Jadi, kita meminta penduduk Kelantan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memutuskan rangkaian Covid-19.
“Kita juga berharap pelaksanaan PKPB ini mampu menurunkan kes dengan mengehadkan perjalanan bagi mengelak berlaku penularan seperti di Sabah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, di sini hari ini.
Menurutnya, rakyat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi bagi memastikan pandemik tersebut dapat diputuskan secepat mungkin.
Mohd Amar berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan langkah lebih drastik diambil berdasarkan keputusan yang diperoleh dalam dua minggu pelaksanaan PKPB.
“Agak sukar sekarang kerana mereka yang positif tidak mengalami sebarang gejala menyebabkan pergerakan mereka tidak terkawal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!