Pas, UMNO dan Bersatu memerlukan antara satu sama lain

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memerlukan antara satu sama lain.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah malah berkata, Pas tidak akan ke mana-mana sekiranya tanpa kerjasama politik bersama UMNO dan Bersatu.

Beliau berkata, dengan kelebihan yang ada pada setiap parti itu, mereka akan melengkapi antara satu sama lain.

“Pendirian Pas dalam soal kerjasama politik itu mesti membabitkan ketiga-tiga parti Melayu iaitu Pas, UMNO dan Bersatu.

"Pada pandangan kita, kalau kita dengan UMNO atau Bersatu sahaja, ia tidak akan sampai ke mana. Ketiga-tiga parti ini semuanya saling memerlukan antara satu sama lain.

“Kita perlukan gabungan ketiga-tiga parti ini. Sebab itu pentingnya Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN). Sebab ketiga-tiga parti ini ada kekuatan tersendiri," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Biar UMNO tentukan jalannya sendiri'

Sebelum ini, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa memaklumkan Pas bertegas bahawa UMNO mesti turut menjadi rakan sekutu dengan Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Annuar berkata, Pas berpegang pada dasar UMNO, Pas dan Bersatu hendaklah bersama dan Pas menyatakan pendirian itu dengan jelas dalam mesyuarat MN sebelum ini.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, pihaknya tidak mahu mencampuri urusan UMNO itu dan menganggap ia sebagai masalah dalaman parti terbabit.

"Isu ini kalau kita tengok di media, ia membabitkan dalam kalangan UMNO. Kenyataan Annuar juga dijawab oleh pimpinan UMNO yang lain. Jadi bagi saya ini isu dalaman parti itu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!