Menang Piala Sumbangsih: Figueroa gembira kejayaan JDT
JOHOR BAHRU - Pengurus dan Ketua Jurulatih Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Luciano Figueroa gembira pasukan kendaliannya berjaya memenangi Piala Sumbangsih 2019, semalam.
Pengendali dari Argentina itu gembira dengan kehadiran penyokong selain menyifatkan perlawanan menentang Perak bagi merebut piala tersebut sebagai satu perlawanan yang hebat.
“Saya amat gembira dengan para pemain kerana kami berjaya mendapatkan trofi kemenangan di halaman sendiri. Saya juga gembira melihat kehadiran dan sokongan dari para penyokong.
“Bagi saya perlawanan tersebut merupakan perlawanan yang hebat. Pemain memberikan aksi permainan yang baik pada separuh masa pertama. Kami juga mencipta banyak peluang sehingga berjaya membolosi gawang pihak lawan. Ia cukup hebat pada saya,” katanya selepas perlawanan tersebut semalam.
Figueroa berkata, aksi separuh masa kedua juga tidak kurang hebatnya, namun agak sedikit berbeza kerana Perak sangat ketara mahu menjaringkan gol.
“Kami tidak bermain bola sepak dengan begitu baik di separuh masa kedua namun Perak juga gagal melakukan ‘shoot on target’. Kami hanya mahu mengekalkan tahap permainan kami, mengawal tempo, dan mendapatkan bola,” katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai pengadil perlawanan, beliau enggan memperkatakan lebih lanjut mengenai tindakan pengadil yang dilihat tidak memberi perlindungan kepada pemain.
“Kadangkala pengadil perlu memberi kad kuning dengan pantas untuk menghentikan perbuatan pasukan lawan.
“Saya tak mahu memperkatakan lebih lanjut mengenai perkara ini,” katanya.
Semalam, JDT berjaya memenangi Piala Sumbangsih 2019 selepas menewaskan Perak 1-0 hasil jaringan tunggal Gonzalo Cabrera dalam aksi di Larkin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!