Polis tumpaskan sindiket seludup ketum

Zulkifli (kanan) bersama Joehany Fitry menunjukkan bungkusan daun ketum yang dirampas dengan tergangkapnya seorang lelaki tempatan kelmarin.
Zulkifli (kanan) bersama Joehany Fitry menunjukkan bungkusan daun ketum yang dirampas dengan tergangkapnya seorang lelaki tempatan kelmarin.
A
A
A

GERIK - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan daun ketum menggunakan kenderaan perdagangan dengan tertangkapnya seorang lelaki dalam satu sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 9 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli berdekatan Sungai Lebey kelmarin.

Dalam pemeriksaan sekitar jam 11.55 malam itu, lelaki tempatan berusia 34 tahun terbabit dikesan memandu sebuah lori membawa muatan 150 bungkusan plastik hitam berisi daun ketum seberat 1.5 tan dianggarkan bernilai RM45,000.

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood berkata, lelaki itu pada mulanya mengaku membawa muatan perdagangan dari Kedah untuk dihantar ke Kelantan, namun gagal menunjukkan dokumen muatan apabila diminta anggota bertugas.

"Pemeriksaan lanjut kemudiannya menemui barang salah yang diletakkan di bahagian tempat letak barang kenderaan dan hasil siasatan didapati, lori muatan 5 tan jenis Hicom yang digunakan itu merupakan kenderaan sewa yang memang digunakan bagi tujuan penyeludupan.

"Suspek turut mengaku bekalan daun ketum itu diambil dari seorang lelaki di sebuah kampung di Sik, Kedah untuk dipasarkan di sekitar kawasan Pantai Timur dengan harga RM30 sekilogram," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Gerik, Asisten Superintendan Joehany Fitry Mohamed.

Zulkifli (kiri) bersama Joehany Fitry menunjukkan kenderaan perdagangan yang digunakan suspek.
Zulkifli (kiri) bersama Joehany Fitry menunjukkan kenderaan perdagangan yang digunakan suspek.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, sindiket itu cuba mengambil kesempatan keadaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini dengan menggunakan kenderaan perdagangan bagi mengaburi pihak berkuasa

Artikel Berkaitan:

"Kumpulan ini dikesan aktif sejak tahun lepas dan beroperasi menggunakan individu berbeza yang dibayar upah RM4 bagi sekilogram daun ketum dengan anggaran keseluruhan RM6,000 bagi 1,500 kilogram daun ketum yang dibawa," katanya.

Pihaknya percaya, sindiket terbabit mempunyai rangkaian yang besar dan didalangi lebih daripada seorang.

Katanya, pergerakan setiap kenderaan dengan kekerapan empat kali perjalanan sebulan itu turut dibantu individu tertentu dan kenderaan tonto.

"Tindakan berani mereka melakukan penyeludupan ini disebabkan keuntungan besar disamping permintaan tinggi terutama pada musim PKPB," katanya.

Zulkifli berkata, suspek yang bekerja sendiri dengan mengusahakan kebun sayur itu telah ditahan reman selama empat hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi empat tahun atau kedua-duanya.

"Suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau, ujian urin juga adalah negatif.

"Selain rampasan 150 bungkusan daun ketum, polis turut menyita kenderaan digunakan dan wang tunai milik suspek berjumlah RM6,950," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!