Kubur kecil tertanam bungkusan kuning di Pantai Irama
BACHOK - Satu kubur kecil tertanam bungkusan kuning ditemui di Pantai Irama, di sini mengemparkan penduduk di kawasan sekitar pada Jumaat lalu berkemungkinan perbuatan individu tidak waras.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Samsulmuddin Sulaiman berkata, selepas menerima maklumat daripada orang ramai, anggota Unit Kereta Peronda (MPV) dihantar ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.
“Sebaik tiba, mereka mendapati bentuk macam kubur kecil dan bungkusan itu ditanam.
“Apabila bungkusan dibuka ada pasu kecil yang sudah pecah dan duit syiling lama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menurut beliau, maklumat yang diperoleh daripada penduduk sekitar mengatakan ada individu kurang waras yang melakukan perbuatan tersebut di kawasan itu.
“Setakat ini tiada sebarang laporan rasmi kepada polis dan tiada apa-apa yang serius berlaku,” katanya.
Sementara itu, Pengasas Persatuan Pengubatan Islam Terapi Syarie Baituhikmah, Ustaz Zaki Ya berpendapat, barang itu berkemungkinan dibuang oleh seseorang.
“Berdasarkan pengalaman, sekiranya terdapat gangguan atau penunggu akan terasa meremang bulu roma apabila melihatnya.
“Benda ini tidak ada terasa sebarang gangguan ketika dipandang bagaimanapun wallahualam,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!