Covid-19: Mangsa banjir akan disaring

Mangsa banjir disarankan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri dan pusat penempatan sementara. Gambar kecil: Dr Noor Hisham
Mangsa banjir disarankan untuk sentiasa menjaga kebersihan diri dan pusat penempatan sementara. Gambar kecil: Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA- Mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara (PPS) disaring oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga membendung jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bukan semua mangsa banjir akan disaring.

"Hanya individu yang mempunyai gejala akan disaring KKM," katanya.

Menurutnya, KKM telah membangunkan panduan pencegahan pengurusan Covid-19 di PPS yang perlu dipatuhi oleh semua.

"Contohnya kubikel antara satu sama lain hendaklah dengan jarak dua meter, pastikan ada tempat cuci tangan dan pemakaian pelitup muka, patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) serta sebagainya," katanya.

Beliau berkata, panduan tersebut telah dimaklumkan kepada pejabat kesihatan negeri untuk tindakan.

"Ini adalah kesiapsiagaan KKM setiap tahun tetapi tahun ini berbeza sedikit kerana ada langkah- langkah untuk elakkan jangkitan Covid-19.

"Kebersihan semasa banjir perlu dijaga bukan sahaja untuk mengelakkan jangkitan Covid-19 tetapi penyakit berjangkit yang lain," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata demikian mengulas mengenai keperluan untuk melakukan saringan di PPS bagi membendung jangkitan Covid-19.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan monsun timur laut bermula 11 November lalu dan berakhir Mac 2021.

Malaysia terutamanya di negeri pantai timur Semenanjung sedang mengalami monsun timur laut yang membawa hujan lebat yang boleh mengakibatkan banjir di sesetengah kawasan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!