Sembunyi dadah dalam bungkusan teh
SUBANG JAYA - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan di Subang Jaya dan Sungai Buloh kelmarin.
Dalam serbuan pertama kira-kira jam 7.40 malam itu, seorang lelaki ditahan di persimpangan lampu isyarat Jalan Jengka Subang Jaya.
Siasatan lanjut pada kenderaan yang dipandu dua suspek polis menemukan 92.7 kilogram disyaki ketamin di dalam 90 bungkusan teh Cina pada tempat duduk belakang kereta yang dipandu suspek.
Timbalan Pengarah Risikan dan Operasi Jabatan siasatan Jenayah Narkotik,Deputi Komisioner Zulkifli Ali berkata, tangkapan tersebut membawa kepada satu lagi serbuan di hentian rehat dan rawat lebuhraya Sungai Buloh.
"Polis menahan dua lelaki didapati rakan subahat suspek pertama yang kita tahan sebelum itu.
"Hasil siasatan mendapati sindiket ini bergerak aktif di sekitar Lembah Klang dan kesemua rampasan dadah boleh dibekalkan kepada 300,000 penagih,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya hari ini.
Zulkifli berkata, nilai semasa dadah dirampas adalah RM5.6 juta dan polis mendapati suspek memperoleh bekalan dadah melalui negara jiran.
"Dalam serbuan pertama dan kedua polis turut merampas tiga kenderaan jenis Toyota Vios, Nissan Almera, Produa Axia serta wang tunai RM8,000 dan seutas jam," katanya lagi.
"Hasil ujian sampel air kencing suspek adalah negatif.
Tambah Zulkifli, kesemua suspek kini direman sehingga Jumaat depan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.
"Kejayaan tangkapan ini adalah hasil usaha berterusan JSJN Polis Diraja Malaysia dalam menjalankan risikan dan operasi professional dalam usaha memastikan aktiviti sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah berjaya dibendung dengan sebaik mungkin," katanya.
Dalam pada itu, Zulkifli berkata, dalam tempoh sebulan iaitu Januari lalu, JSJN melakukan 17,363 tangkapan individu terlibat dadah.
Ia melibatkan 16,245 warga tempatan dan 1,118 warga asing.
"Rampasan dadah sebanyak 723.45 kg dan syabu merupakan rampasan terbesar iaitu 611.38 kg.
"Nilai keseluruhan rampasan dadah itu RM90.1 juta," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!