UMNO mungkin berpecah jika Belanjawan 2021 tidak lulus

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada 6 November lalu. - Foto Bernama Gambar kecil: Mohammad Tawfik dan Dr Jeniri Amir
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Parlimen pada 6 November lalu. - Foto Bernama Gambar kecil: Mohammad Tawfik dan Dr Jeniri Amir
A
A
A

SHAH ALAM - Parti UMNO dijangka mengulangi sejarah perpecahan parti itu dengan sebahagian pemimpinnya akan melakukan penghijrahan besar-besaran menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sekiranya usul Belanjawan 2021 gagal diluluskan kelak.

Penganalisis politik daripada Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, senario perpecahan besar dalam UMNO mungkin berlaku memandangkan parti itu secara terang-terangan seolah-olah memiliki lebih dua nakhoda selain Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, tindakan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah mengajak semua ahli Parlimen menyokong usul penentuan kepercayaan kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum undi belah bahagi usul Belanjawan 2021, sebenarnya sudah boleh dibaca dari peringkat awal.

"Tindakan Ku Li itu membuktikan dalam UMNO sudah ada lebih dua nakhoda iaitu Ku Li sendiri, Zahid dan kelompok ahli Parlimen yang tidak suka kepimpinan Zahid.

"Sekiranya usul Belanjawan 2021 tidak lulus, saya percaya akan berlaku perpecahan besar dengan segelintir pemimpin UMNO yang anti Zahid mungkin memilih Bersatu sebagai wadah perjuangan politik baharu.

"Sama ada para pemimpin berpecah dalam UMNO akan mewujudkan parti baharu, saya lihat sukar kerana kesemua mereka menyedari UMNO masih merupakan parti dominan dan kini sudah kembali mendapat sokongan pengundi Melayu," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Semalam, Ku Li yang juga Ahli Parlimen Gua Musang memaklumkan beliau tidak akan turut serta dalam perbahasan Belanjawan 2021 selagi Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun tidak meluluskan usul penentuan kepercayaan terhadap Muhyiddin.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Ku Li tidak ambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2021

Hasrat itu disampaikan bekas Menteri Kewangan itu kepada Azhar Azizan menerusi sepucuk surat bertarikh 19 November dengan isi kandungannya turut mengkritik keengganan Speaker Dewan Rakyat itu membenarkan usul penting selain usul Belanjawan 2021 dilaksanakan.

Surat itu adalah respons kepada kenyataan Azhar Azizan bulan lalu bahawa dia tidak boleh membenarkan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan, dianggap usul persendirian, mendahului usul dibawa kerajaan.

Tawfik berkata, kegagalan Ahmad Zahid menentukan pendirian tetap UMNO dalam meluluskan usul Belanjawan 2021 juga merupakan satu ancaman kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

"Apabila belum ada kata putus daripada ahli Parlimen UMNO dalam penentuan sokongan usul Belanjawan 2021, ada yang bercanggah antara satu sama lain, saya fikir kerajaan PN perlu memanggil semua ahli Parlimen menyokong kerajaan dan pembangkang untuk berbincang semula mengenai usaha pindaan dan penambahbaikan usul berkenaan.

"Kalau tidak menyokong setakat alasan kerajaan Muhyiddin tiada sokongan majoriti (ahli Parlimen), itu pandangan ke belakang kerana undi pertukaran Speaker Dewan Rakyat membuktikan kerajaan sudah memiliki sokongan majoriti," katanya.

Sementara itu, penganalisis politik bebas, Dr Jeniri Amir berpandangan, tindak-tanduk Ku Li yang penuh muslihat menunjukkan seolah-olah pemimpin paling lama berkhidmat dalam Dewan Rakyat itu masih memiliki agenda peribadi untuk menjadi Perdana Menteri.

"Dalam konteks ini, saya fikir Presiden UMNO (Ahmad Zahid) harus lebih dominan, harus beri penjelasan sama ada mahu parti itu sokong (usul Belanjawan 2021) atau tidak.

"Kalau hendak sokong, perlu dinyatakan dengan konkrit dan jangan bermain wayang kulit. Pandangan berbeza dalam UMNO tidak akan membantu menyelesaikan bukan sahaja masalah kerajaan PN, bahkan soal survival dan kebajikan rakyat," katanya.

Jeniri turut merumuskan tindakan UMNO bermain tarik tali dalam memberi sokongan kepada usul Belanjawan 2021 sebagai petanda jelas parti itu masih mahu pilihan raya umum ke-15 (PRU15) diadakan meskipun pada saat pandemik koronavirus (Covid-19) kritikal.

"Pastinya UMNO adalah 'king maker' penentu keputusan usul Belanjawan 2021, namun sekiranya parti itu tersilap langkah, ia akan memberi kesan besar kepada peluang itu pada PRU15," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli Parlimen terima surat daripada Ku Li

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!