Tun M ucap tahniah kepada chef pastri Malaysia!
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengucapkan tahniah kepada satu pasukan chef pastri Malaysia yang telah dinobatkan sebagai juara Piala Dunia Pastri 2019 atau Coupe du Monde de la Pâtisserie di Lyon, Perancis.
“Tahniah #TeamMalaysia. Rakyat Malaysia bangga dengan pencapaian ini. Malaysia Boleh!," Dr Mahathir menjawab Twitter Sunway University, hari ini.
Pasukan Malaysia yang terdiri daripada Ketua Chef School of Hospitality, Universiti Sunway, Patrick Siau dan peserta Tan Wei Loon, Otto Tay dan Loi Ming Ai.
Mereka mengalahkan 20 pasukan lain termasuk dari Jepun dan Itali dalam pertandingan akhir pada 28 Januari.
Media tempatan melaporkan, pasukan itu ditugaskan menghasilkan tiga pencuci mulut coklat dengan crab gran Valrhona, tiga pencuci mulut pelbagai buah-buahan sejuk beku Ravifruit, 15 pencuci mulut yang sama di atas pinggan, dan ciptaan seni yang diperbuat daripada gula, coklat dan ais hidrik yang diukir.
Piala Pastri Dunia itu merupakan acara antarabangsa yang diadakan setiap dua tahun sekali di Lyon, Perancis.
Ia diadakan untuk mengiktiraf bakat pastri muda yang terbaik dari seluruh dunia, dengan proses pemilihan yang melibatkan lebih daripada 50 pusingan kebangsaan dan empat acara pemilihan dari benua Asia, Afrika, Eropah dan Amerika Latin. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!